Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Australia gandakan yuran visa pelajar asing bagi kekang hijrah

Jul 2, 2024 | 10:42 AM
Mulai 1 Julai, yuran visa pelajar antarabangsa digandakan menjadi A$1,600 ($1,446) daripada A$710.
Mulai 1 Julai, yuran visa pelajar antarabangsa digandakan menjadi A$1,600 ($1,446) daripada A$710. - Foto REUTERS

SYDNEY: Australia menggandakan yuran visa pelajar antarabangsa mulai 1 Julai – langkah terbaru kerajaan untuk mengekang bilangan penghijrahan yang telah meningkatkan tekanan ke atas pasaran perumahan yang ketat di negara itu.

Mulai 1 Julai, yuran visa pelajar antarabangsa ialah A$1,600 ($1,446), meningkat daripada A$710, manakala pemegang visa pelawat dan pelajar dengan visa siswazah sementara dilarang memohon di dalam negara itu bagi mendapatkan visa pelajar.

“Perubahan yang berkuat kuasa hari ini itu akan membantu memulihkan integriti dalam sistem pendidikan antarabangsa kita, dan mewujudkan sistem migrasi yang lebih adil, lebih kecil dan lebih mampu untuk Australia,” kata Menteri Dalam Negeri, Cik Clare O’Neil, dalam satu kenyataan.

Data rasmi yang dikeluarkan pada Mac menunjukkan kemasukan bersih meningkat 60 peratus kepada rekod 548,800 orang dalam tempoh setahun hingga 30 Sep 2023.

Kenaikan yuran menjadikan permohonan visa pelajar Australia jauh lebih tinggi berbanding negara pesaing seperti Amerika Syarikat dan Canada – masing-masing mengenakan yuran kira-kira AS$185 ($251) dan C$150 ($149).

Kerajaan Australia juga berkata ia sedang berusaha memperbaiki kelemahan dalam peraturan visa, yang membenarkan pelajar asing terus melanjutkan tempoh tinggal mereka di Australia.

Langkah itu diambil selepas bilangan pelajar yang menggunakan visa pelajar kedua atau seterusnya meningkat lebih 30 peratus kepada lebih 150,000 pada 2022 hingga 2023.

Langkah terbaru itu menyusuli pelbagai tindakan sejak lewat 2023 untuk mengetatkan peraturan visa pelajar, kerana penarikan balik sekatan Covid-19 pada 2022 meningkatkan penghijrahan tahunan ke paras tertinggi. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg