SYDNEY: Negeri dan wilayah Australia semalam mula melaksanakan perintah sekatan sempadan selepas 28 kes Covid-19 dikesan dari satu kelompok di pantai utara Sydney, dengan kebimbangan jangkitan akan meningkat.
"Semua orang dalam kawasan luar Sydney kini dalam keadaan berjaga-jaga," kata ketua menteri New South Wales (NSW), Cik Gladys Berejiklian, dalam satu sidang akhbar semalam dalam mengumumkan 10 kes baharu.
Pihak berkuasa kesihatan bimbang kelompok itu boleh menular ke kawasan-kawasan lain di Sydney, kota paling ramai penduduk, tetapi mereka tidak dapat menentukan sumber jangkitan.
NSW menggesa kira-kira suku juta penduduk di kawasan perumahan terlibat di Sydney supaya duduk di rumah selama tiga hari.
"Kebimbangan saya ialah kita tidak punya laluan jangkitan langsung dan kita tidak dapat pastikan kita telah mengadang laluan penularan," kata Ketua Pegawai Kesihatan NSW, Dr Kerry Chant.
Pihak berkuasa percaya, tapak penularan asal adalah dua kelab di Pantai Avalon, tetapi telah menamakan lebih 30 tapak penularan berpotensi, dari bank ke pejabat pos ke pasar raya dan farmasi, dan menasihatkan orang ramai yang telah melawat tapak-tapak itu supaya menjalani ujian.
Hospital di kawasan terjejas dan tapak ujian sementara telah didatangi ramai orang yang menunggu berjam-jam untuk menjalani ujian.
Kemudahan awam utama di kawasan pantai utara seperti kolam renang dan taman permainan telah ditutup dan pengunjung dilarang daripada memasuki pusat jagaan warga emas.
Semua pantai di sepanjang 29km perairan ditutup sehingga lusa.
Restoran di kawasan itu yang sedang bersiap untuk menyambut Krismas, berdepan dengan pembatalan besar-besaran.
Sekatan sempadan ini menjejas rancangan perjalanan ribuan orang semalam.
Ramai berbondong ke lapangan terbang Sydney untuk cuba ke luar negeri, khuathir akan penutupan sempadan.
Beberapa orang meninggalkan NSW telah diletakkan dalam kuarantin hotel serta merta selama 14 hari apabila mereka mendarat di negeri lain.
Negeri Queensland dan Wilayah Utara (NT) menuntut mereka yang telah ke pantai utara supaya dikuarantin selama 14 hari.
Negeri Australia Barat juga mengenakan perintah serupa ke atas sesiapa dari NSW.
Negeri kedua dengan jumlah penduduk paling ramai berkata, pengunjung dari NSW perlu permit untuk memasuki Victoria.
Kelompok penjangkit Covid-19 dan penutupan sempadan menyebabkan pelan perjalanan di Australia jadi kucar-kacir.
Sehingga minggu ini, Australia tidak mengalami sebarang penularan jangkitan tempatan, membenarkan sebahagian besar negeri dan wilayah menarik balik semua langkah jarak sosial.
Rasa optimis Australia malah meramalkan ekonominya akan pulih daripada kemelesetan pertama dalam tiga dekad, lebih pantas daripada yang dijangka sebelum ini selepas membendung penularan Covid-19.
Harapan Australia untuk pemulihan ekonomi, yang didorong oleh pelancongan tempatan yang dikendali syarikat seperti Virgin Australia dan Qantas Airways, kini tidak mungkin berlaku.
"Kita telah menanganinya sebelum ini, kita akan menanganinya sekali lagi. Adalah penting bagi rakyat kekal tenang terhadap isu-isu ini," kata Perdana Menteri, Encik Scott Morrison.
"Tidak ada formula magik yang boleh membuat pandemik ini berlalu begitu sahaja."
Australia melaporkan lebih 28,000 kes koronavirus dan 908 kematian sejak pandemik bermula dan menganggarkan kebanyakan kes aktif di negara itu terdiri daripada mereka yang pulang dari luar negara dan menjalani kuarantin di hotel. - Reuters.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg