CANBERRA: Kerajaan Australia telah melanjutkan tempoh perintah sekatan pergerakan selama 14 hari lagi dalam usaha negara itu memerangi gelombang ketiga jangkitan Covid-19.
Australia melaporkan 1,253 kes baharu pagi kelmarin membabitkan jangkitan setempat dengan 1,164 daripadanya di New South Wales, negeri paling ramai penduduk dengan Sydney sebagai ibu kota.
Victoria, negeri kedua paling padat dengan Melbourne sebagai ibu kota, melaporkan 76 kes baharu serta Wilayah Ibu Kota Australia (ACT) mencatat 13 kes baharu menjadikan jumlah kes aktif di wilayah berkenaan sebanyak 242.
Tujuh daripada kes baharu di ACT dikaitkan dengan kes sebelumnya iaitu terdedah kepada persekitaran dengan empat daripadanya dikuarantin bagi keseluruhan tempoh selepas dijangkiti.
Penutupan sekatan ketat Canberra dijadual berakhir Khamis ini, tetapi Ketua Menteri ACT, Encik Andrew Barr, mengumumkan ia akan berakhir pada 17 September paling awal.
"Angka kes ketika ini menunjukkan kita mulai berada di puncak jangkitan wabak, namun ini adalah proses yang lambat dan memerlukan lebih banyak waktu," kata Encik Barr.
Di bawah perintah sekatan itu, orang ramai diminta untuk terus berada di rumah dan mengehadkan hubungan secara dekat dengan individu lain di luar untuk mengekang penularan virus.
Bagaimanapun, akan ada beberapa pindaan pada sekatan itu, termasuk bagi aktiviti luar yang berisiko rendah.
Sekolah di ACT akan meneruskan pembelajaran secara maya dan beberapa perniagaan akan ditutup.
Ketua Pegawai Kesihatan, Dr Kerryn Coleman, berkata perlanjutan tempoh sekatan itu adalah 'keputusan terbaik' untuk menjaga keselamatan penduduk ibu kota.
Lewat bulan lalu, Australia mengesyorkan suntikan vaksin dalam kalangan remaja bagi menangani ancaman Covid-19 ketika negara itu menghadapi penularan gelombang ketiga.
Sehubungan itu, kerajaan memulakan program inokulasi remaja seawal usia 12 tahun, sementara melanjutkan cadangan semasa pemberian vaksin kepada individu berusia 16 tahun dan ke atas.
Kumpulan Penasihat Teknikal Australia mengenai Imunisasi (ATAGI) pada 27 Ogos lalu menasihatkan kerajaan bahawa vaksin Pfizer selamat digunakan dan berkesan bagi remaja berusia 12 hingga 15 tahun.
"ATAGI merumuskan manfaat menawarkan vaksinasi Covid-19 kepada semua remaja berusia 12 hingga 15 tahun melebihi risiko yang diketahui atau berpotensi.
"Oleh itu, ATAGI mengesyorkan kumpulan umur ini dimasukkan dalam program vaksinasi Covid-19 Australia secara berperingkat," katanya dalam satu kenyataan.
Susulan pengumuman itu, Perdana Menteri, Encik Scott Morrison, berkata janji temu bagi vaksinasi untuk remaja akan dibuka mulai bulan ini.
"Secara dasarnya saya melihat perkara ini boleh dizahirkan, terutama melalui rangkaian pengamal perubatan swasta (GP).
"Ini membolehkan peluang bagi vaksinasi keluarga, untuk setiap keluarga mendapatkan suntikan ini bersama-sama dalam lingkungan umur ditetapkan," katanya dalam satu sidang media di Canberra. - Reuters, AFP.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg