Subuh
5:58
Syuruk
7:15
Zuhur
1:19
Asar
4:33
Maghrib
7:21
Isyak
8:30
Penyenggaraan yang dijadualkan: Kami sedang mempertingkat sistem mySPH untuk memberi anda khidmat log masuk lebih lancar. Sebahagian akses bagi log masuk ke mySPH akan terjejas dari 02 / Mar / 21 12:30 PG hingga 02 / Mar / 21 06:00 PG. Anda perlu log masuk semula selepas tempoh penyenggaraan ini. Untuk mendapatkan bantuan, sila tinggalkan butiran hubungan anda di sini dan kami akan hubungi anda. Terima kasih.
Dunia0

Australia mula program vaksinasi di tengah-tengah protes

Feb 23, 2021 | 05:30 AM

MELBOURNE: Australia melancarkan program vaksin Covid-19 awamnya semalam di tengah-tengah protes terhadap kempen tersebut, termasuk oleh penunjuk perasaan di pertarungan akhir Terbuka Australia.

Sekitar 60,000 dos dijangka diberikan minggu ini, bermula dengan pekerja barisan hadapan - daripada kakitangan penjagaan kesihatan kepada pekerja kuarantin hotel, pegawai polis serta penghuni di rumah penjagaan warga emas.

Program berita televisyen pagi menunjukkan beberapa suntikan pertama diberi kepada kakitangan perubatan dan kuarantin di Melbourne dan Sydney, sehari selepas Perdana Menteri Scott Morrison menerima suntikannya dalam acara 'pembuka tirai' yang bertujuan meyakinkan warga Australia bahawa vaksin itu selamat.

Pelancaran itu bagaimanapun dibayangi oleh tunjuk perasaan anti-vaksin kecil-kecilan tetapi lantang di bandar-bandar utama, termasuk protes di kalangan peminat tenis di pertarungan akhir perseorangan lelaki Terbuka Australia kelmarin.

Semasa majlis penyampaian trofi selepas Novak Djokovic memenangi gelaran Terbuka Australia kesembilannya, pengerusi Tenis Australia Jayne Hrdlicka mencetuskan bantahan daripada sekitar 7,500 orang apabila beliau meluahkan harapan pelancaran program vaksin dapat membantu menghentikan gangguan ke atas sukan profesional disebabkan oleh Covid-19.

Berita Popular

Peminat juga mengejek apabila Cik Hrdlicka mengucapkan terima kasih kepada pihak berkuasa di Melbourne dan negeri Victoria kerana membantu memastikan Grand Slam pertama musim itu dapat dijalankan.

Kejohanan itu terjejas oleh krisis virus tersebut sejak awal, dengan pemain dipaksa menjalani kuarantin selama dua minggu sebaik tiba di Australia dan peminat dilarang menghadiri pertandingan semasa sekatan lima hari di tengah-tengah kejohanan yang diarahkan oleh Victoria untuk membendung satu penularan koronavirus kecil.

Walaupun terdapat bantahan, tinjauan pendapat awam menunjukkan sekitar 80 peratus warga Australia yang layak sedia menerima suntikan vaksin.

Australia merupakan antara negara paling berjaya di dunia untuk membendung koronavirus itu disebabkan oleh penutupan sempadan negara yang cepat dan langkah-langkah agresif untuk membendung penularan menerusi sekatan dan pengujian intensif serta program penjejakan kontak.

Kempen vaksinasi itu dimulakan dengan dos vaksin Pfizer-BioNTech yang diimport dan fasa selanjutnya akan menggunakan suntikan AstraZeneca buatan tempatan.

Pihak penguasa Australia berkata ia akan menyelesaikan program vaksin di negara seramai 25 juta penduduk itu menjelang Oktober. - AFP.

Video Baru

Podcast Baru

Try the new Halal Food Map