Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Australia rancang larang kanak-kanak guna media sosial

Sep 10, 2024 | 5:33 PM
Kerajaan Australia merancang untuk memperkenalkan undang-undang yang melarang kanak-kanak daripada menggunakan wadah media sosial.
Kerajaan Australia merancang untuk memperkenalkan undang-undang yang melarang kanak-kanak daripada menggunakan wadah media sosial. - Foto ST

AUSTRALIA: Australia merancang memperkenalkan undang-undang pada 202 untuk melarang kanak-kanak menggunakan wadah media sosial dengan menyebut alasan risiko yang boleh dicetuskan ke atas kesihatan fizikal dan mental.

Perdana Menteri Australia, Encik Anthony Albanese, berkata kerajaannya akan memulakan percubaan pengesahan umur dalam beberapa bulan akan datang.

“Saya mahu melihat kanak-kanak melepaskan peranti mereka dan pergi ke padang bola, kolam renang dan gelanggang tenis.

“Kami mahu mereka mempunyai pengalaman dengan orang sebenar kerana kami tahu bahawa media sosial menyebabkan kemudaratan sosial,” katanya kepada penyiar nasional ABC News.

Beliau tidak menyatakan had umur bagi larangan itu tetapi berkata ia kemungkinan antara 14 dengan 16 tahun.

Encik Albanese berkata beliau bimbang tentang kesan buli siber terhadap kesihatan mental kanak-kanak dan pendedahan kepada kandungan media sosial yang boleh membahayakan mereka.

Langkah itu dipertimbangkan selepas pengawal selia eSafety Australia pada Julai meminta syarikat Internet menghasilkan tatacara yang boleh dikuatkuasakan bagi memperincikan bagaimana ia akan menghalang kanak-kanak melihat pornografi dan bahan tidak sesuai yang lain, atau mengguna pakai tatacara yang dikenakan ke atas industri.

Beberapa negara telah cuba menyekat penggunaan media sosial oleh golongan bawah umur tetapi berdepan cabaran dan teknologi undang-undang.

Ini termasuk rangkaian peribadi maya yang boleh menyamarkan lokasi dan sekali gus menghalang usaha kerajaan.

“Ini adalah isu sejagat yang pemerintah di seluruh dunia cuba tangani... kami tahu ia tidak mudah diatasi seperti yang dilakukan kerajaan sebelum ini,” ujar Encik Albanese. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg