KUALA LUMPUR: Sekumpulan warganet Malaysia melancarkan petisyen dalam talian yang mendesak peletakan jawatan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Petisyen, disertakan dengan hashtag #AzminLetakJawatan di Change.org, dengan lebih dari 100,000 tandatangan dikumpulkan semalam.
Desakan tersebut dibuat setelah timbul rasa tidakpuas hati di kalangan warga Malaysia setelah kementeriannya dilaporkan membenarkan operasi lebih 100,000 syarikat untuk tidak ditutup sepenuhnya awal minggu ini.
Datuk Seri Azmin yang bertanggungjawab terhadap Miti dikritik ramai pihak susulan dakwaan terdapat kebenaran operasi perkhidmatan tidak perlu semasa Perintah Sekatan Pergerakan (PKP) penuh berlangsung.
Beliau dikritik kerana membenarkan begitu banyak sektor terus beroperasi meskipun digesa melaksanakan "lockdown" penuh seperti yang dibuat bawah PKP pertama tahun lalu.
Setakat pagi semalam, 128,150 daripada 586,308 pemohon telah diluluskan oleh Miti untuk beroperasi semasa 'total lockdown' kali ini.
Penganjur petisyen hanya memberikan penerangan ringkas mengapa Azmin harus mengundurkan diri.
"Hanya satu sebab: gagal berfungsi sebagai Menteri Kanan yang diharapkan."
Terdahulu, tanda pagar #AzminLetakJawatan juga tular di Twitter, susulan lebih 128,000 syarikat diberi kebenaran beroperasi ketika PKP penuh dilaksanakan.
Keputusan saat akhir kerajaan mewajibkan semua syarikat memohon kebenaran beroperasi menerusi sistem khas dikenali sebagai Covid-19 Intelligent Management System (CIMS) di bawah selenggaraan Miti mengundang kemarahan rakyat.
Bagaimanapun, Datuk Seri Azmin berkata Miti mengambil maklum mengenai aduan beberapa pihak yang mendakwa CIMS 3.0 dibolosi dan mendapat kelulusan walaupun berada berada dalam sektor yang tidak dibenarkan beroperasi.
Jelasnya, Miti bukanlah pihak tunggal yang memberikan kebenaran beroperasi sepanjang tempoh sekatan pergerakan penuh sekarang.
Menurut Datuk Seri Azmin terdapat pelbagai kementerian lain terbabit dalam saringan sektor industri yang mengemukakan permohonan melalui Sistem Pengurusan Pintar Covid-19 (CIMS) 3.0 kendalian Miti.
Jelasnya lagi, sehingga kini, 15 Kementerian telah menggunakan sistem CIMS 3.0 bagi memudahkan proses penilaian permohonan kebenaran untuk beroperasi di bawah sektor masing-masing.
Datuk Seri Azmin berkata kelulusan itu membabitkan kira-kira 1.57 juta pekerja daripada jumlah keseluruhan 10.2 juta yang berdaftar dalam sistem berkenaan.
Awal dari ini, hantaran Facebook "saya dah tutup pintu depan" yang dibuat Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri turut mengundang perhatian.
Walaupun kemudian dinafikan Datuk Seri Ismail ada maksud lain di sebalik hantarannya itu, ada pihak melihatnya sebagai sindiran berkaitan kebenaran operasi kilang ketika sekatan pergerakan penuh pada masa ini.
Datuk Seri Azmin turut menjawab hantaran Datuk Seri Ismail itu dengan berkata selaku menteri Miti menegaskan kementerian itu bukan satu-satu pihak yang meluluskan permit berkenaan tetapi sekadar mengeluarkan surat kebenaran selepas kementerian berkaitan meluluskannya.
Percanggahan dalam kenyataan itu dilihat berlaku ketidak selarasan sesama menteri kanan di dalam kabinet menteri.
Laporan Free Malaysia Today (FMT) pula melaporkan berlaku perdebatan panas tercetus melibatkan beberapa menteri pada mesyuarat mereka awal minggu ini.
Perbalahan itu dikatakan berhubung pengumuman Miti meluluskan lebih 100,000 syarikat untuk beroperasi walau pun semasa PKP penuh.
FMT difahamkan menteri yang terbabit dalam "perselisihan pendapat" pada mesyuarat itu adalah Datuk Seri Ismail, yang juga menteri kanan pertahanan, dan Datuk Seri Azmin, menteri kanan untuk ekonomi.
Spekulasi bertebaran dua menteri kanan itu bertikam lidah, lebih-lebih lagi setelah Ismail mengatakan "saya dah tutup pintu depan tapi...," disusuli emoticon menangis di Facebooknya sebelum ini.
Catatan tersebut turut melampirkan gambar beliau, dengan pelitup muka, menutup pintu pejabat Menteri Pertahanan.
Bagaimanapun, Datuk Seri Ismail berkata beliau hanya menulis sedemikian sebagai tanda hendak pulang ke rumah selepas selesai tugasan harian.
Datuk Seri Ismail berkata segala persoalan mengenai kebenaran beroperasi harus dirujuk kepada kementerian Miti.
"Saya susah nak jawab (rungutan awam itu) sebab kita sudah menyerahkannya kepada Miti, jadi Miti boleh jawab," kata Datuk Seri Ismail.
Datuk Seri Azmin membalas jawapan Datuk Seri Ismail itu, apabila menegaskan keputusan menentukan sesuatu sektor itu perkhidmatan perlu atau tidak, bukan ditentukan oleh Miti.
Beliau memberitahu FMT, kerajaan harus dilihat konsisten dalam mesej yang disampaikan kepada rakyat.
"Contohnya, (PKP3.0) bukan 'total lockdown', jadi kita tidak patut merujuknya sebegitu. Kita sebagai menteri mempunyai tanggungjawab kolektif. Kita perlu mempamerkan solidariti dalam memerangi Covid-19. Kita tidak boleh bekerja secara silo (berseorangan) untuk kepentingan politik," katanya.
Beliau berkata, angka terkini itu menunjukkan penurunan kebenaran operasi yang cukup besar dan mendadak untuk memastikan pergerakan dapat dikawal, bagi menyekat penularan Covid-19.
Sejak kebelakangan ini Malaysia mencatatkan rekod jumlah kes jangkitan hari demi hari dan pengkritik berkata langkah memberi syarikat keizinan beroperasi semasa sekatan akan memberi tekanan ke atas sistem penjagaan kesihatan.
Angka kematian akibat wabak Covid-19 di Malaysia telah melebihi 3,000 orang setelah Kementerian Kesihatan kelmarin melaporkan kematian tiga angka untuk hari kedua berturut-turut, dan pihak berkuasa melahirkan kebimbangan mengenai peningkatan jumlah kematian dan kes serius yang melibatkan kanak-kanak.
Sebilangan besar dari 103 kematian berkaitan koronavirus yang dilaporkan kelmarin mempunyai "keadaan kesihatan yang wujud seperti kencing manis, tekanan darah tinggi dan strok," kata Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, ketua pengarah kesihatan kementerian itu. - Agensi berita
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg