
JAKARTA: Babi di sebuah ladang Indonesia yang membekalkan ternakan ke Singapura disahkan dijangkiti virus demam babi Afrika, kata pihak berkuasa Indonesia pada Selasa.
Pihak berkuasa menguji sampel babi dari ladang itu, yang terletak di Pulau Bulan, di wilayah Kepulauan Riau, selepas konsainan babi hidup yang dihantar ke Singapura didapati dijangkiti virus tersebut.
Virus itu ditemui dalam bangkai babi pada April di rumah penyembelihan di Jurong, tempat haiwan itu disembelih untuk dijadikan makanan.
Pegawai pihak berkuasa veterinar di wilayah Kepulauan Riau, Encik Honismandri, memberitahu The Straits Times babi itu mungkin dijangkiti virus demam babi Afrika kerana simptom klinikalnya berbeza sedikit daripada yang ditemui dalam kes sebelum itu di Sumatera Utara dan bahagian lain di Indonesia.
"Mereka tidak mengalami cirit-birit atau pendarahan. Babi itu mungkin dijangkiti oleh babi hutan atau burung gagak yang datang dari pulau berdekatan," kata Encik Honismandri.
Singapura telah menghentikan import babi hidup dari Pulau Bulan.
Encik Honismandri, yang juga ketua bahagian kesihatan haiwan dan ternakan di Agensi Kesihatan Haiwan, Pertanian dan Keselamatan Makanan wilayah itu, berkata ladang tersebut telah ditutup dan semua penghantaran babi hidup dan daging babi segar dari pulau itu digantung sejak 21 April.
Langkah biosekuriti juga telah diperketat di pulau itu, dan pergerakan orang dan barangan dihadkan, tambahnya.
Babi yang dijangkiti dan babi yang diletak dalam kandang yang sama telah dimusnahkan, kata Encik Honismandri, sambil menambah bahawa separuh daripada 70,000 ekor babi di ladang Pulau Bulan itu kini dikurung untuk mencegah jangkitan lanjut.
Babi di ladang itu telah diberi vaksin terhadap jenis penyakit lain - kolera babi - selepas mereka dijangkiti pada awal 2022. Kolera babi dan demam babi Afrika mempunyai simptom serupa dan boleh menyebabkan kematian babi.
Tetapi, tidak seperti kolera babi, tiada vaksin terhadap virus demam babi Afrika. Walaupun demam babi Afrika tidak menjangkiti manusia, ia mudah menular dalam kalangan babi hutan dan babi.
Ditanya berapa lama masa yang diambil untuk ladang itu menyambung semula pengeluaran dan eksport, Encik Honismandri berkata ia mungkin mengambil masa beberapa bulan.
"Sekiranya ladang bersih dalam tempoh enam bulan, dan mereka kemudian menyimpan stok semula, atau jika babi sedia ada membiak dalam tempoh dua bulan, mereka boleh menyambung pengeluaran dan eksport dalam masa kurang setahun," katanya.
Encik Honismandri berkata pihak berkuasa veterinar Kepulauan Riau telah mengeluarkan pekeliling kepada bahagian lain di wilayah itu untuk memberi amaran kepada mereka tentang penyakit tersebut.
Dimiliki oleh Indotirta Suaka - sebuah syarikat perniagaan tani yang menternak babi dan udang, antara lain, untuk eksport - ladang yang dijangkiti itu menternak 240,000 babi di atas tanah seluas 1,500 hektar di Pulau Bulan, kira-kira 2.5 kilometer ke barat daya Batam.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg