KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah memanggil tiga saksi, setakat ini, bagi membantu siasatan isu pemindahan hak milik pengurusan Menara Kuala Lumpur (Menara KL).
Menurut SPRM dalam satu kenyataan, pihaknya juga mendapatkan beberapa dokumen daripada pihak berkaitan untuk diteliti.
Menurut kenyataan itu, SPRM menyiasat sama ada terdapat elemen rasuah dalam penjualan saham anak syarikat Telekom Malaysia (TM) - Menara KL Sdn Bhd (MKLSB) - kepada Hydroshoppe Sdn Bhd pada Oktober lalu, berhubung pengambilalihan pengurusan Menara KL.
SPRM turut mengesahkan siasatan dijalankan selepas mendapati ada kecurigaan dalam pemindahan hak milik pengurusan bangunan ikonik itu.
"SPRM akan menjalankan siasatan secara terperinci dan profesional dari semua sudut berkaitan isu ini," menurut kenyataan itu lagi, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).
Difahamkan ketika ini, siasatan berkenaan masih pada peringkat pembukaan kertas siasatan, dan tindakan lanjut oleh SPRM akan menyusul.
Isu pengambilalihan pengurusan Menara KL tular dalam media sosial baru-baru ini.
Media melaporkan Menteri Komunikasi dan Digital, Encik Fahmi Fadzil, berkata beliau memandang serius serta akan meneliti isu berkenaan.
Beliau turut mengesahkan sudah menerima taklimat terperinci berkaitan konsesi pengurusan Menara KL daripada kementerian itu pada 14 Disember lalu dan akan mendapatkan taklimat menyeluruh berhubung perkara itu daripada TM pada 3 Januari ini.
Sementara itu, TM telah menjelaskan bahawa Menara KL dimiliki kerajaan manakala operasi dan penyelenggaraan menara itu diberikan di bawah satu konsesi.
Penyedia perkhidmatan telekomunikasi itu, menerusi anak syarikat milik penuhnya, Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd (MKLSB), melaksanakan konsesi terbabit sejak 1996.
TM dalam satu kenyataan berkata sebagai sebahagian program transformasinya, ia menumpukan usaha dan sumber untuk mengukuhkan perniagaan teras iaitu telekomunikasi serta teknologi, lapor BHM.
"Selepas membuat pertimbangan mengenai perubahan dalam ciri-ciri perniagaan Menara KL, daripada perkhidmatan telekomunikasi kepada pelancongan dan hospitaliti, TM pada Oktober 2021 memutuskan untuk tidak memperbaharui konsesi Menara KL serta memaklumkan sewajarnya kepada kerajaan," katanya.
TM berkata pada tahun ini, proses pemilihan konsesi baru itu dilaksanakan oleh kerajaan, yang mana TM dimaklumkan mengenai syarikat yang dilantik untuk mengambil alih saham MKLSB dan konsesi Menara KL.
Ia berkata MKLSB akan terus mengendalikan konsesi itu dan memastikan kesinambungan operasi Menara KL bagi rakyat Malaysia, termasuk pengunjung antarabangsa.
"Pekerja akan kekal dengan MKLSB di bawah konsesi baru bagi tempoh minimum tiga tahun. Ini akan memastikan kebajikan mereka dilindungi menerusi peralihan ini," katanya.
TM berkata dalam pengumuman suku ketiga 2022 kepada Bursa Malaysia, satu rujukan sudah dibuat berhubung perubahan mengenai pegangan saham dalam MKLSB.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg