Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Bahagian bawah bangunan dipercayai punca keruntuhan kondo di Florida

Jun 29, 2021 | 5:30 AM
USAHA CARI MANGSA DITERUSKAN: Pasukan mencari dan menyelamat berusaha mencari mangsa yang mungkin terselamat menyusuli kejadian bangunan Champlain Towers South di Surfside, Florida, yang runtuh. - Foto AFP
USAHA CARI MANGSA DITERUSKAN: Pasukan mencari dan menyelamat berusaha mencari mangsa yang mungkin terselamat menyusuli kejadian bangunan Champlain Towers South di Surfside, Florida, yang runtuh. - Foto AFP -

SURFSIDE (FLORIDA): Siasatan yang bertujuan mencari sebab kejadian bangunan runtuh yang mungkin paling dahsyat dalam sejarah Amerika Syarikat baru sahaja bermula.

Namun, pakar yang memeriksa rakaman video kejadian itu dari luar Miami kini tertumpu kepada bahagian paling bawah kompleks kondominium tersebut, mungkin di tempat meletak kereta bawah tanah atau di bawahnya, di mana satu kegagalan awal boleh menyebabkan keruntuhan struktur tersebut.

Dinamakan keruntuhan progresif, kegagalan itu boleh merebak akibat pelbagai sebab termasuk kesilapan reka bentuk atau pembinaan kurang kukuh yang dibenarkan di bawah undang-undang bangunan empat dekad lalu ketika kompleks itu dibina.

Namun, keruntuhan itu tidak boleh berlaku tanpa kegagalan awal yang kritikal.

Malah, pemeriksaan teliti terhadap video pemantauan yang muncul selepas kejadian bangunan runtuh itu memberi bayangan di mana kegagalan awal itu mungkin berada.

Jurutera perunding, Encik Donald Dusenberry, yang telah menyiasat banyak struktur yang runtuh, berkata:

"Kelihatan seperti ia bermula di bahagian bawah struktur itu atau dekat dengannya.

"Bukannya kegagalan di bahagian atas yang kemudian merebak ke bawah."

Pemerhatian awal itu didapati sedang pegawai penyelamat terus berusaha mencari mangsa kelmarin selepas separuh daripada bangunan kondo Champlain Towers South setinggi 13 tingkat itu runtuh Khamis lalu.

Lebih 150 orang masih belum ditemui sementara jumlah kematian meningkat kepada sembilan orang.

Sementara kejadian jambatan, laluan atas dan bangunan yang sedang dibina runtuh berlaku setiap tahun, kejadian bangunan yang didiami penduduk runtuh tanpa serangan bom atau bencana gempa bumi jarang sekali berlaku.

Oleh itu, penyiasat sedang berusaha memahami bagaimana kejadian ini boleh berlaku tanpa amaran. - Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg