Topik diikuti
Pergi ke BHkuBahrain perketat sambutan Asyura masyarakat Syiah susulan perang Iran
Bahrain perketat sambutan Asyura masyarakat Syiah susulan perang Iran
Bahrain perketat sambutan Asyura masyarakat Syiah susulan perang Iran
MANAMA: Kerajaan Bahrain mengenakan peraturan ketat terhadap sambutan Hari Asyura pada 2026 di tengah ketegangan mazhab susulan perang Iran, langkah terbaru yang dilihat menyasarkan masyarakat Syiah di negara Teluk itu.
Pihak berkuasa Bahrain menetapkan tempoh sambutan Asyura 2026 ini dipendekkan separuh berbanding kebiasaan, selain mengehadkan perarakan awam sehingga tengah malam kecuali di ibu kota Manama yang dibenarkan berlangsung sehingga jam 2 pagi.
Sebelum ini, perarakan Asyura di Bahrain lazimnya berlangsung sepanjang malam hingga waktu subuh.
Dalam kenyataan rasmi, kerajaan Bahrain berkata langkah berkenaan bertujuan memastikan keselamatan semua peserta sambutan Asyura.
“Langkah-langkah tahun ini bertujuan melindungi keselamatan dan kesejahteraan semua pihak yang menyertai sambutan Asyura,” menurut kenyataan itu.
Kerajaan turut menegaskan Perlembagaan Bahrain menjamin kebebasan beragama dan kepercayaan kepada semua rakyat tanpa diskriminasi.
Asyura merupakan cuti umum di Bahrain dan lazimnya disambut besar-besaran oleh masyarakat Syiah menerusi perarakan jalanan, ceramah agama dan lakonan semula Pertempuran Karbala.
Sambutan itu memperingati kematian cucu Nabi Muhammad saw, Imam Hussein, yang terbunuh dalam Pertempuran Karbala pada tahun 680 Masihi selepas menolak bai’ah kepada pemerintah Umaiyah, Yazid.
Bahrain diperintah monarki Sunni, namun majoriti rakyatnya berfahaman Syiah Imam Dua Belas, mazhab yang turut menjadi agama rasmi Iran.
Langkah terbaru kerajaan Bahrain dibuat ketika ketegangan politik dan keselamatan meningkat susulan perang Iran, serta hubungan tegang antara Manama dengan Teheran.
Kerajaan Bahrain baru-baru ini turut melarang rakyatnya melakukan perjalanan ke Iran dan Iraq sehingga diberitahu kelak.
Walaupun pihak berkuasa tidak mengaitkan larangan itu secara langsung dengan Asyura, keputusan tersebut memberi kesan besar kepada ribuan rakyat Bahrain yang lazimnya menziarahi bandar suci Karbala di Iraq ketika musim Asyura.
Karbala menempatkan antara makam paling suci dalam Islam Syiah, termasuk makam Imam Hussein.
Kerajaan Bahrain berkata larangan perjalanan itu dibuat atas faktor keselamatan susulan konflik serantau.
“Larangan perjalanan ke Iran dan Iraq tidak berkaitan dengan Asyura, sebaliknya berkait pertimbangan keselamatan rakyat Bahrain susulan konflik yang menjejaskan rantau ini,” menurut kenyataan kerajaan.
Bahrain, yang menjadi sekutu rapat Amerika Syarikat, turut menempatkan markas Armada Kelima Tentera Laut Amerika di negara itu.
Sepanjang perang Iran baru-baru ini, Bahrain berdepan ratusan serangan dron dan peluru berpandu Iran.
Manama sejak sekian lama menuduh Teheran cuba mencetuskan ketidakstabilan dalam kalangan penduduk Syiah Bahrain.
Kerajaan Bahrain juga pernah mengambil tindakan tegas terhadap suara pembangkang dan pernah menumpaskan kebangkitan prodemokrasi pada 2011, menerusi tindakan keras pasukan keselamatan.
Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, pihak berkuasa Bahrain memperhebat tindakan terhadap masyarakat Syiah.
Baru-baru ini, kerajaan menarik balik kerakyatan 69 rakyat Syiah dan ahli keluarga mereka sehingga menyebabkan mereka kehilangan kewarganegaraan sebelum cuba menghantar pulang sebahagian besar daripada mereka ke Iran.
Ramai daripada mereka dituduh menyokong dan “mengagungkan” serangan Iran ketika perang berlangsung.
Pihak berkuasa Bahrain turut menahan dan memenjarakan beberapa individu lain atas tuduhan serupa sejak beberapa bulan lalu.
Menjelang sambutan Asyura minggu ini, kerajaan Bahrain turut mengumumkan larangan sebarang upacara berkabung awam untuk pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei, yang terbunuh dalam serangan Amerika dan Israel pada awal perang.
Sesetengah masyarakat Syiah berpegang kepada doktrin wilayat al-faqih, yang memberikan kuasa politik dan agama kepada pemimpin tertinggi Iran terhadap komuniti Syiah Imam Dua Belas di seluruh dunia.
Menteri Dalam Negeri Bahrain, Sheikh Rashid bin Abdullah Al Khalifa, berkata penghormatan terhadap pemimpin Iran boleh dianggap sebagai bentuk “kesetiaan selari”.
“Kesetiaan berganda tidak boleh diterima di Bahrain sebagai sebuah negara berdaulat di bawah pimpinan Raja,” katanya awal bulan ini.
Kementerian Dalam Negeri Bahrain berkata sambutan Asyura pada 2026 berlangsung dalam “keadaan luar biasa” susulan perang Iran baru-baru ini.
Pihak berkuasa Bahrain memantau rapat beberapa majlis agama kerana bimbang ia dijadikan platform bantahan politik.
Pegawai Bahrain turut memberi amaran kepada peserta supaya tidak mengibarkan bendera atau melaungkan slogan yang dikaitkan dengan organisasi dan agenda serantau.
Walaupun kerajaan menegaskan langkah keselamatan itu perlu demi ketenteraman awam dan keselamatan negara, aktivis hak asasi manusia mendakwa tindakan berkenaan secara tidak seimbang menyasarkan majoriti penduduk Syiah Bahrain.
Seorang penganjur perarakan Asyura yang enggan dikenali kerana bimbang dikenakan tindakan oleh kerajaan berkata beberapa pendakwah Syiah dan pembaca ratapan agama dihalang daripada menyertai sambutan tahun ini. – Agensi berita.
