Topik diikuti
Pergi ke BHkuBajet 2023: AP prihatin M'sia bergantung pada sumbangan Petronas
Bajet 2023: AP prihatin M'sia bergantung pada sumbangan Petronas
Bajet 2023: AP prihatin M'sia bergantung pada sumbangan Petronas
KUALA LUMPUR: Beberapa anggota Parlimen Malaysia telah melahirkan keprihatinan terhadap Bajet 2023 yang disampaikan kelmarin kerana sebahagian perbelanjaan itu bergantung pada jangkaan sumbangan dividen yang besar daripada Petronas.
Merujuk kepada jangkaan Bajet 2023 iaitu pembayaran dividen oleh Petronas sebanyak RM35 bilion ($10.7) kepada kerajaan Malaysia, mantan Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, daripada Umno berkata kerajaan perlu mempunyai pelan kontingensi sekiranya pemberian dividen itu tidak berlaku.
"Apakah yang akan berlaku sekiranya Petronas gagal menyerahkan RM35 bilion kepada kerajaan?" katanya sewaktu analisis pascabelanjawan di TV3 malam kelmarin.
Keprihatinan itu turut disuarakan Anggota Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR), Encik Fahmi Fadzil.
"RM35 bilion dijangka pada 2023 - adakah ini benar-benar berlaku? Kita perlu tunggu dan lihat," katanya kepada akhbar The Straits Times.
"Saya juga bimbang sama ada kerajaan akan dapat mengekalkan jumlah subsidi yang diberikan tahun ini dan tahun-tahun lalu, terutama untuk makanan dan minyak masak. Memandang ke hadapan, bagaimana dapat kita tampung perbelanjaan ini?"
Beliau menambah: "Anda tahu ini adalah bajet pilihan raya berikutan "gula-gula' yang diagihkan".
"Sama ada anda penjawat awam atau bujang, lebih lapan juga isi rumah akan meraih manfaatnya," katanya merujuk kepada bonus dan kenaikan gaji penjawat awam dan pemberian wang tunai untuk segmen tertentu.
"Selain itu, terdapat pengurangan cukai pendapatan untuk golongan tertentu".
Ahli Parlimen Parti Tindakan Demokratik (DAP), Encik Chan Foong Hin, pula mengalu-alukan pengurangan kadar cukai ke atas pendapatan bercukai bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) daripada 17 peratus kepada 15 peratus bagi RM100,000 pertama.
"Ini akan memberi sedikit ruang kepada PKS kerana mereka fokus membina semula perniagaan selepas dua tahun mengharungi kawalan ketat Covid-19," katanya.
Namun, beliau mempersoalkan sama ada bajet itu akan dilaksanakan sepenuhnya.
"Oleh kerana terdapat spekulasi kuat mengenai pembubaran awal Parlimen, adakah bajet ini akan dilaksanakan sepenuhnya.? Atau ia hanya umpan yang ditawarkan Barisan Nasional kepada pengundi bagi pilihan raya akan datang?"
Ketua Penerangan Umno, Encik Shahril Hamdan, berkata bajet itu bukan hanya mengenai pemberian imbuhan semata-mata.
Sambil mengakui Bajet 2023 memperuntukkan bantuan tunai tertinggi dalam sejarah, beliau berkata ia tidak melupakan matlamat jangka panjang yang tidak bersifat populis semata-mata.
Sasaran ke arah menjadi neutral karbon dan pengecualian yuran permit yang diluluskan untuk pengimport kereta yang membawa masuk kenderaan elektrik adalah beberapa contoh yang disebut.
Sabah, negeri ketiga paling ramai penduduk di Malaysia, diperuntukkan RM6.3 bilion - peningkatan 20.45 peratus berbanding tahun lalu - termasuk menaik taraf kemudahan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) di Lahad Datu.
"Sabah mengalu-alukan komitmen kerajaan persekutuan untuk terus menekankan pembangunan negeri," kata Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor.
"Selain itu, menyediakan aset keselamatan tambahan dan pembinaan hospital medan pada tahun depan. Begitu juga peruntukan RM1.2 bilion untuk pembaikan sekolah daif yang membabitkan sebanyak 123 sekolah di Sabah.
"Kami juga mengalu-alukan peruntukan RM430 juta untuk membina sekolah baharu di seluruh negara, termasuk Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Nabalu pada tahun depan," katanya. - ST
