Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

MALAYSIA

Bajet akan garis tindakan radikal pacu pertumbuhan ekon: Anwar

Usaha yakinkan pelabur; peruntukan dikurangi bagi tangani defisit tinggi tanpa jejas program pembangunan
Feb 10, 2023 | 05:30 AM



KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, membayangkan Bajet 2023 yang akan dibentangkan pada 24 Februari bakal menggariskan tindakan yang lebih radikal.



Datuk Anwar berkata melalui bajet tersebut beliau dan pasukannya di Kementerian Kewangan (MoF) mendepani beberapa masalah dengan berani.



Beliau, yang juga Menteri Kewangan, berkata rangka Bajet 2023 akan memberi fokus untuk memacu pertumbuhan ekonomi Malaysia menerusi keyakinan pelabur dan seterusnya berupaya memberi rahmah kepada rakyat secara menyeluruh.



Pendekatan itu perlu diambil kerana negara banyak ketinggalan dari segi pelaksanaan dasar membabitkan ekonomi, ujarnya.



"Banyak hal kita ketinggalan. Hampir tiap hari saya ada kumpulan perbincangan. Hal ini umpamanya dalam soal daya saing, kecepatan, kepesatan kelulusan perniagaan, soal beberapa inisiatif baharu seperti digitalisasi, beberapa tindakan untuk memastikan keluaran sumber asli melalui proses hiliran.



"Itu semua kita ketinggalan dari Indonesia, Vietnam. Hal ini mesti kita depani untuk memastikan kita mampu dan berdaya saing," kata Datuk Anwar ketika berucap pada majlis perhimpunan bulanan MoF kelmarin.



Beliau berkata kerajaan mahu memberi mesej jelas bahawa penyediaan belanjawan bukan mengambil kira kedudukan ekonomi mencabar sekarang sahaja, malah sesuatu yang boleh memacu pertumbuhan serta meyakinkan pelabur.



Mengimbangi keyakinan golongan kaya untuk melabur dan kumpulan miskin mendapat faedah sebagaimana asas dalam Al-Quran menjadi satu cabaran yang sangat rumit, ujar beliau.



"Kalau semua ini diimbangi, itu contoh terbaik manusia bagaimana kita dapat terjemah Madani. Kita sebut Madani, mahu pacu pertumbuhan, tetapi tidak peduli ihsan, rahmah, ia tidak mungkin tercapai," katanya.



Menurut beliau, Malaysia tidak boleh bertahan dengan defisit tinggi dan mesti berusaha mengurangkan hutangnya.



Peruntukan Bajet 2023 yang akan dibentangkan selepas persidangan Dewan Rakyat dimulakan pada 13 Februari, dikurangkan namun ia tidak akan membebankan program pembangunan negara, tambah Datuk Anwar.



"Saya bentangkan strategi belanjawan dan angka awal kerana negara tidak boleh bertahan dengan defisit tinggi. Sejauh mana mampu kita mampu kurangkan dan pengurangan yang tidak bebankan program pembangunan kita.



"Saya menerima maklum balas tambahan daripada menteri (berkaitan isu itu)," katanya.



Sementara itu, Datuk Anwar juga berkata Malaysia perlu melakukan perubahan dari aspek teknologi dan digital bagi memastikan pekerja tempatan mendapat peluang pekerjaan.



Mengambil contoh mekanisme yang dilaksana oleh Permodalan Nasional Berhad, beliau berkata tiada sebarang masalah timbul bagi pengambilan pekerja tempatan untuk bekerja di ladang.



Mengenai isu pekerja asing, beliau mahu pemantauan dilaksana oleh Kementerian Dalam Negeri supaya pendaftaran golongan itu dapat dilakukan tanpa menggunakan ejen, yang melibatkan kos tinggi.



"Contohnya bagi Nepal, kos hanya RM3,700 ($1,140) tetapi Bangladesh dan Indonesia masing-masing melibatkan kos antara RM20,000 hingga RM25,000," katanya.



Beliau berkata perhatian akan diberi pada perkara itu. Kenaikan upah tidak menjadi masalah, namun kenaikan bayaran untuk ejen adalah satu perhambaan moden, ujar Datuk Anwar. - Agensi berita.




"Banyak hal kita ketinggalan. Hampir tiap hari saya ada kumpulan perbincangan. Hal ini umpamanya dalam soal daya saing, kecepatan, kepesatan kelulusan perniagaan, soal beberapa inisiatif baharu seperti digitalisasi, beberapa tindakan untuk memastikan keluaran sumber asli melalui proses hiliran. Itu semua kita ketinggalan dari Indonesia, Vietnam. Hal ini mesti kita depani untuk memastikan kita mampu dan berdaya saing."



- Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >