MAKKAH: Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi menasihati orang ramai supaya berhati-hati dengan penyedia perkhidmatan haji dan akaun dalam talian palsu yang mendakwa menyediakan perkhidmatan pakej haji pada harga lebih rendah.

Kementerian memberi amaran terhadap penduduk dan rakyatnya, supaya berhati-hati ketika berurusan dengan laman web yang mempromosi ibadat haji dan meletakkan pautan pendaftaran, lapor Al-Arabiya.

Kementerian itu berkata pendaftaran bagi haji tahun ini melalui laman web rasminya.

Memetik laporan Saudi Gazette pula, kementerian itu menggesa warganegara dan ekspatriat yang ingin menunaikan haji tahun ini supaya memohon dan mendaftar hanya melalui aplikasi Eatmarna melalui pautan: https://localhaj.haj.gov.sa/.

Laporan berkenaan turut menjelaskan kementerian itu memantau banyak akaun palsu dan nombor telefon mengelirukan yang mendakwa menyediakan perkhidmatan haji dengan meminta data peribadi dan dokumen rasmi daripada mereka yang ingin menunaikan haji.

Ia menegaskan bahawa rakyat dan penduduk tidak seharusnya terpedaya dengan iklan yang tidak mempunyai status rasmi di laman rangkaian sosial.

Sehubungan itu kementerian menggesa orang ramai melaporkan segera mengenai mana-mana pejabat, syarikat atau individu yang mendakwa menawarkan permit mengerjakan haji bagi tahun 2022 di luar kerangka portal rasmi itu.

Kementerian mengesahkan bahawa portal elektronik bagi jemaah haji domestik yang ditetapkan kementerian untuk menerima permohonan daripada warganegara dan ekspatriat bagi tahun ini, adalah satu-satunya wadah yang diberi kuasa menempah perkhidmatan jemaah haji.

Ini bertujuan mencapai ketelusan, memastikan proses penyeliaan dan kawalan serta menggunakan semua langkah kesihatan dan berjaga-jaga yang berkaitan dengan koronavirus.

Pendaftaran haji melalui aplikasi Eatmarna akan diteruskan sehingga 12 Jun dan keputusan saringan akan diumumkan selepas tarikh akhir.

Jawatankuasa pemantauan dan susulan di kementerian akan bertindak ke atas semua pelanggaran dan kempen yang tidak dibenarkan.

Tindakan undang-undang akan diambil dengan kerjasama pihak berkuasa keselamatan terhadap pelaku, tegas kementerian itu.

Seramai 150,000 warganegara dan ekspatriat akan dipilih daripada kalangan pemohon haji tahun ini yang mewakili 15 peratus daripada jumlah sejuta jemaah haji yang akan dibenarkan menunaikan haji tahun ini.

Daripada jumlah keseluruhan jemaah haji, jemaah asing merangkumi 85 peratus atau 850,000 jemaah.

Sebelum ini, Arab Saudi membenarkan satu juta umat Islam dari dalam dan luar negara untuk mengerjakan haji pada tahun ini.

Jumlah itu peningkatan mendadak, selepas sekatan pandemik selama dua tahun yang memaksa jemaah haji dikurangkan.

Pada 2019, kira-kira 2.5 juta dibenarkan mengerjakan haji - perhimpunan agama terbesar di dunia. Bagaimanapun, akibat pandemik Covid-19 pada 2020, pihak berkuasa Arab Saudi hanya membenarkan 1,000 orang mengerjakan haji kerana mengutamakan kesihatan jemaah.

Tahun lalu, angka jemaah dinaikkan kepada 60,000 bagi penduduk yang sudah divaksin dan dipilih melalui cabutan undi. - Agensi berita.