Topik diikuti
Pergi ke BHkuBangunan pentadbiran Saudi Aramco diserang, kebakaran kecil dilaporkan
Beberapa dron dan peluru berpandu Houthi turut dipintas dan dimusnahkan di Riyadh
Bangunan pentadbiran Saudi Aramco diserang, kebakaran kecil dilaporkan
RIYADH: Sebuah bangunan pentadbiran syarikat minyak milik kerajaan Arab Saudi, Saudi Aramco, yang terletak di bandar timur Dhahran, diserang sehingga mengakibatkan satu kebakaran kecil, kata Kementerian Tenaga dalam satu kenyataan pada 14 Oktober.
Kejadian tersebut berlaku ketika pertempuran antara kumpulan Houthi Yaman dengan Arab Saudi semakin memuncak.
Pihak berkuasa telah mengambil tindakan sejurus kejadian itu yang berlaku pada lewat 13 Oktober serta melaksanakan langkah yang diperlukan, kata kementerian tersebut sambil menambah tiada sebarang kecederaan atau kematian dilaporkan.
Seorang sumber daripada syarikat berkenaan memberitahu Reuters bahawa satu peluru berpandu balistik telah membedil kompleks ibu pejabat Aramco di Dhahran.
Sumber berkenaan berkata sebuah menara pejabat di kompleks tersebut telah terkena serangan dengan tiga tingkat teratas mengalami kerosakan.
Sumber itu bersama dua lagi pihak yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu mengesahkan bahawa bangunan berkenaan mengalami kebakaran.
Kompleks tersebut menempatkan pusat operasi utama Aramco yang menyelia rangkaian luas pelantar minyak di darat dan luar pantai, saluran paip, kilang penapisan serta terminal eksport.
Kumpulan Houthi yang disokong Iran telah melancarkan peluru berpandu balistik dan dron ke arah lokasi strategik di Arab Saudi sejak seminggu lalu, sebagai serangan balas terhadap sokongan kerajaan itu kepada pasukan tentera pemerintah Yaman dalam perang saudara yang kembali meruncing.
Lapangan Terbang Antarabangsa Riyadh telah diserang sebanyak empat kali, termasuk satu serangan pada 10 Oktober yang mengorbankan 13 nyawa.
Serangan peluru berpandu balistik pada 10 Oktober di lapangan terbang Riyadh itu merupakan yang paling buruk di Arab Saudi dalam tempoh sedekad, dengan serangan susulan menyebabkan penerbangan di serata negara terpaksa digantung.
Menurut gabungan tentera yang dipimpin Arab Saudi, serpihan peluru berpandu yang dipintas dan dimusnahkan di Dhahran telah jatuh di kawasan perumahan, tanpa memberikan perincian lanjut.
Pihak berkuasa turut melaporkan bahawa beberapa dron dan peluru berpandu telah dipintas serta dimusnahkan di ibu negara, Riyadh, dan kawasan wilayah selatan negara berkenaan.
Empat individu cedera di Riyadh selepas serpihan daripada dua peluru berpandu Houthi jatuh susulan tindakan pemintasan dan pemusnahannya, kata Pertahanan Awam Arab Saudi pada 14 Oktober.
Sisa runtuhan tersebut menyebabkan kerosakan kecil pada 15 rumah di ibu negara, kata jurucakap Pertahanan Awam sambil menambah mangsa yang cedera terdiri daripada dua wanita, seorang lelaki dan seorang kanak-kanak.
Kumpulan Houthi sebelum ini mengancam akan memberi serangan balas “keras dan menyakitkan” terhadap serangan tentera pimpinan Arab Saudi di ibu negara Yaman, Sanaa.
Jurucakap tentera Houthi, Encik Yahya Saree, memberi amaran bahawa sasaran serangan boleh merangkumi ibu pejabat Saudi Aramco di Dhahran serta sebuah kilang penapisan minyak di Riyadh.
Kumpulan itu turut menggesa pekerja sektor minyak di Arab Saudi supaya menjauhi lokasi yang berisiko menjadi sasaran.
Menurut pihak Houthi, Arab Saudi melancarkan serangan ke atas Sanaa pada 13 Oktober, sementara itu gabungan pimpinan Arab Saudi menggesa orang awam supaya menjauhi sebuah depoh minyak di pinggir bandar tersebut.
Stesen televisyen Al-Masirah milik Houthi melaporkan bahawa gabungan pimpinan Arab Saudi telah menyasarkan stesen pusat milik Syarikat Petroleum Yaman, Sabah, yang terletak di pinggir Sanaa.
Dalam satu kenyataan pada malam 13 Oktober, pihak gabungan mengesahkan telah menyerang stesen berkenaan dan beberapa lokasi lain dalam satu operasi yang bertujuan “melumpuhkan keupayaan Houthi” daripada terus mengancam Arab Saudi, Yaman, serta laluan perairan antarabangsa. – Reuters.