Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Banjir, elektrik terputus angkara taufan 'Nicholas' pukul Texas, Louisiana

Sep 16, 2021 | 5:30 AM
BENCANA ALAM: Taufan 'Nicholas' menyebabkan banjir melanda kawasan perumahan di Jamaica Beach di Texas kelmarin, dan kerosakan serta sampah di Houston. - Foto REUTERS
BENCANA ALAM: Taufan 'Nicholas' menyebabkan banjir melanda kawasan perumahan di Jamaica Beach di Texas kelmarin, dan kerosakan serta sampah di Houston. - Foto REUTERS -

TEXAS CITY (Texas): Taufan Nicholas bergerak perlahan melepasi pantai teluk kelmarin, mengakibatkan Texas dan Louisiana menghadapi hujan lebat dan banjir di jalan utama dan menyebabkan ribuan rumah dan perniagaan terputus bekalan elektrik.

Kerosakan akibat Nicholas datang dua minggu selepas taufan Ida mengorbankan lebih 80 orang merentasi sekurang-kurangnya lapan negeri di Amerika Syarikat dan memusnahkan banyak kawasan di pesisiran Louisiana berdekatan New Orleans.

Belum ada kematian dilaporkan akibat Nicholas, yang makin lemah menjelang petang kelmarin, sejak ia melanda di sepanjang pantai teluk Texas awal pagi kelmarin, dengan kederasan angin 121 kilometer sejam.

Nicholas dijangka menurunkan hujan antara tiga hingga tujuh sentimeter merentasi rantau itu kelmarin, menurut Perkhidmatan Cuaca Nasional (NHC).

Ahli kaji cuaca sebelum ini memberi amaran mengenai paras hujan berbahaya ketika Nicholas membentuk taufan di pantai Texas menuju ke daratan.

Pegawai cuaca berkata Nicholas membawa angin kencang maksimum 120 kilometer sejam dan dijangka menurunkan hingga 460 milimeter hujan di daerah Houston, Texas. Ia membawa hujan lebat, angin kencang, dan gelombang ribut ke bahagian tengah dan pantai Texas, kata NHC.

"Ada kemungkinan berlaku banjir kilat yang mengancam nyawa, terutama di kawasan metropolitan dan bandar," ujar amaran melalui buletin terbarunya.

NHC, yang berpangkalan di Miami, berkat pusat taufan itu terletak kira-kira 30 kilometer ke tenggara Matagorda di Teluk Mexico. Matagorda hanya beberapa kilometer di barat daya Houston, bandar terbesar di Texas.

NHC mengeluarkan peringatan lonjakan ribut di sebahagian besar pantai, yang bermaksud terdapat bahaya mengancam nyawa daripada peningkatan paras air dari garis pantai.

"Ini adalah situasi yang mengancam nyawa," katanya, mengingatkan penduduk di daerah itu supaya mengambil semua tindakan yang diperlukan bagi melindungi nyawa dan harta benda.

Mayor Bandar Houston, Encik Sylvester Turner, berkata bandar itu diletak dalam keadaan berjaga-jaga.

Pihak berkuasa membina sekatan, mengaktifkan pejabat pengurusan kecemasan dan menggesa penduduk mengambil langkah keselamatan tambahan.

"Saya menggesa semua orang jangan berada di jalan apabila matahari terbenam dan mengelak memandu malam ini hingga esok kerana kita menjangka hujan lebat," kata Encik Turner melalui Twitter. - Reuters, AFP.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg