ISTANBUL: Seramai 17 orang terbunuh dalam satu banjir kilat di kawasan Laut Hitam di Turkey kelmarin yang menyaksikan air deras dan sampah-sarap melalui jalan raya dan jambatan rosak dalam bencana alam kedua melanda negara itu bulan ini.
Banjir itu menimbulkan kekecohan di wilayah utara sedang pihak berkuasa menyatakan sebilangan kes kebakaran hutan yang melanda wilayah pesisir selatan negara itu selama dua minggu telah dapat ditangani.
Kejadian banjir dan kebakaran itu, yang meragut lapan orang dan memusnahkan puluhan ribu hektar hutan, berlaku pada minggu sama apabila satu panel Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengatakan pemanasan sejagat kini hampir tidak dapat dikawal.
Lima belas orang terbunuh dalam banjir di wilayah Kastamonu dan dua orang mati di Sinop, umum pihak berkuasa, sambil menambah bahawa operasi mencari dan menyelamat masih diteruskan.
Lebih 1,400 orang telah dipindahkan dari kawasan terjejas, sebilangannya dengan bantuan helikopter dan bot, dan kira-kira 740 orang ditempatkan di asrama pelajar, kata Direktorat Pengurusan Bencana dan Kecemasan (AFAD) negara itu.
Helikopter menurunkan pegawai penyelamat ke bumbung bangunan untuk menyelamatkan mereka yang terperangkap sedang air bah membanjiri jalan, demikian rakaman yang dikongsi Kementerian Dalam Negeri Turkey. - Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg