Subuh
5:36
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:24
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

BENCANA ALAM MELANDA INDONESIA, TIMOR LESTE

Banjir kilat, tanah runtuh korbankan lebih 75 penduduk

Bencana landa kawasan luas dari Flores di Indonesia hingga negara jiran Timor Leste
Apr 06, 2021 | 05:30 AM



JAKARTA: Lebih 75 maut, manakala berpuluh lagi masih hilang susulan banjir kilat dan tanah runtuh melanda Indonesia dan negara jiran Timor Leste awal pagi semalam, menurut kata kenyataan rasmi hari ini.



"Terdapat 55 orang meninggal dunia, namun jumlah itu pasti akan meningkat, sementara kira-kira 42 lagi dilaporkan hilang," kata Jurucakap Agensi Pengurusan Bencana Nasional (BNPB), Encik Raditya Jati kepada stesen penyiaran MetroTV.



Di Timor Leste pula dilaporkan sekurang-kurangnya 16 rakyatnya terkorban, kata pegawai negara kepulauan kecil antara Indonesia dan Australia.



Banjir yang disebabkan hujan lebat mengakibatkan malapetaka dan kerosakan pulau yang terbentang dari Flores di Indonesia hingga ke Timor Leste, sekali gus memaksa ribuan penduduk menyelamatkan diri ke tempat perlindungan.



Banjir dan tanah runtuh mengakibatkan empangan pecah, menenggelamkan ribuan rumah dengan pasukan penyelamat bertungkus lumus mencari mangsa yang terperangkap.



Tanah runtuh dan banjir kilat adalah perkara biasa di kepulauan Asia Tenggara ketika musim tengkujuh.



"Puluhan rumah di Lamanele terbenam dalam lumpur... rumah penduduk (di timur Flores) dihanyut air banjir.



"Jambatan di pulau Adonara dekat timur Flores pula runtuh dan penyelamat terpaksa meredah hujan lebat, angin kencang serta ombak kuat," kata Encik Raditya.



Di Timor Leste, saksi berkata bayi berusia dua tahun antara tiga mangsa maut akibat tanah runtuh di pinggir bandar Dili, walaupun pihak berkuasa belum mengesahkan angka korban kejadian itu.



Bekalan elektrik terputus manakala kediaman presiden dibanjiri lumpur ekoran hujan lebat dan angin kencang yang melanda Dili sejak petang semalam.



Pegawai perlindungan awam di Timor Leste gagal dihubungi untuk mendapatkan komen sementara status di media sosial menunjukkan bangunan dan kenderaan ditenggelami banjir kilat.



Agensi cuaca Indonesia berkata, taufan tropika menghampiri Selat Savu antara selatan wilayah Nusa Tenggara dan pantai utara Timor Leste selain memberi amaran hujan lebat berpanjangan serta ombak dan angin.



Laman berita detiknews.com semalam melaporkan bencana pertama terjadi di daerah Flores Timur.



Banjir kilat melanda sejumlah wilayah di Flores Timur yang disebabkan kederasan hujan pada dini hari kelmarin, pada 1 pagi waktu Indonesia Tengah (Wita), atau 2 pagi waktu Singapura.



Pada 5 pagi semalam, BNPB mencatatkan, seramai 256 warga ditempatkan di Balai Desa Nelemawangi dan sejumlah warga lainnya di Balai Desa Nelelamadike.



Seramai 24 warga dilaporkan hilang dan 44 pula meninggal dunia. Sedangkan warga yang cedera telah diberikan rawatan perubatan.



Sebanyak sembilan desa di empat daerah terjejas banjir kilat ini.



Keempat-empat desa itu ialah - Desa Nelemadike dan Nelemawangi (Daerah Ile Boleng); Desa Waiburak dan Mukim Waiwerang (Adonara Timur); Desa Oyang Barang dan Pandai (Wotan Ulu Mado); dan, Desa Duwanur, Waiwadan serta Daniboa (Adonara Barat).



Dengan kerugian harta benda masih dikira, sejumlah 17 rumah hanyut, sementara 60 lain terendam lumpur manakala lima jambatan pula telah runtuh.



Encik Raditya mengatakan BPBD setempat masih terus menjalankan siasatan atas kerosakan yang berlaku dan mengesahkan jumlah korban mahupun kerosakan prasarana.



"Beberapa gangguan dihadapi dalam mendukung upaya menangani darurat. BPBD Daerah Flores Timur memberitahu bahawa laluan masuk ke kawasan terjejas adalah melalui penyeberangan laut, sedangkan kondisi hujan, angin dan gelombang membahayakan pelayaran kapal.



"Di sisi lain, langkah menyelamat mangsa yang tertimbus lumpur masih kekurangan alat berat," kata Encik Raditya dalam keterangan tertulis, semalam.



Selain itu, bencana kedua terjadi di Daerah Sumba Timur, Nusa Tenggara Timur (NTT), pada 10 pagi waktu Wita, kelmarin.



Encik Raditya menyatakan, hujan sangat lebat selama beberapa hari mengakibatkan tebing sungai pecah.



Sebanyak empat daerah terjejas akibat banjir tersebut. Keempat-empat daerah itu ialah Daerah Kambera, Pandawai, Karera dan Wulawujelu.



Bencana alam juga melanda Daerah Lembata yang mengakibatkan banjir hingga mengorbankan 11 warga dan 16 lainnya hilang.



Lokasi yang terjejas melibatkan Daerah Ile Ape dan Daerah Ile Ape Timur. Desa-desa terpapar di kededua daerah ini antara lain ialah Desa Waowala, Tanjung Batu, Amakala, Jontona, Lamawolo dan Waimatan.




"Beberapa gangguan dihadapi dalam mendukung upaya menangani darurat. BPBD Daerah Flores Timur memberitahu bahawa laluan masuk ke kawasan terjejas adalah melalui penyeberangan laut, sedangkan kondisi hujan, angin dan gelombang membahayakan pelayaran kapal. Di sisi lain, langkah menyelamat mangsa yang tertimbus lumpur masih kekurangan alat berat."
- Jurucakap Agensi Pengurusan Bencana Nasional (BNPB), Encik Raditya Jati.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >