SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Banjir sebabkan kerugian tempat tinggal, harta, korban nyawa...

Banjir sebabkan kerugian tempat tinggal, harta, korban nyawa...

Dec 25, 2022 | 5:30 AM

Banjir sebabkan kerugian tempat tinggal, harta, korban nyawa...

CARI PERLINDUNGAN: Penduduk di Kuala Terengganu ini mengguna bot untuk berpindah ke pusat perlindungan sementara apabila kawasan mereka dilanda banjir. - Foto EPA-EFE
CARI PERLINDUNGAN: Penduduk di Kuala Terengganu ini mengguna bot untuk berpindah ke pusat perlindungan sementara apabila kawasan mereka dilanda banjir. - Foto EPA-EFE -

KUALA LUMPUR: Banjir adalah suatu fenomena yang berlaku di Malaysia hampir saban tahun. Risiko serta kesan kerosakan akibat bencana itu mendatangkan kerugian besar kepada penduduk dan negara.

Lebih membimbangkan, mangsa banjir bukan sahaja hilang tempat tinggal dan barangan berharga, malah turut melibatkan nyawa.

Sehingga pertengahan minggu ini, jumlah mangsa dipindahkan melepasi 72,000 orang kerana situasi banjir di pantai timur semakin buruk dengan jumlah mangsa dipindahkan, khususnya di Terengganu dan Kelantan, terus meningkat.

Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) melaporkan lima negeri terjejas akibat banjir - Kelantan, Terengganu, Johor, Perak dan Pahang.

Malah dipercayai, sekitar 10 juta daripada 33 juta penduduk Malaysia terutama yang tinggal di Pantai Timur dijangka terkesan dengan bencana banjir yang mula melanda sejak lewat November hingga awal tahun depan.

Berdasarkan ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), taburan hujan yang tinggi mula melanda beberapa negeri pantai timur sekali gus memberi kesan kepada sebahagian populasinya seperti Kelantan yang mempunyai penduduk seramai 1.8 juta orang, Terengganu (1.2 juta orang), Pahang (1.6 juta orang) selain di timur Johor (4 juta keseluruhan) dan barat Sarawak (2.5 juta keseluruhan).

Selain itu, terdapat kemungkinan banjir turut melanda pantai barat Semenanjung iaitu Kuala Lumpur yang mempunyai populasi penduduk seramai 1.9 juta orang, Selangor (7 juta) dan Kedah (2.2 juta).

Presiden Persatuan Pengurusan Bencana Kebangsaan (Nadim), Encik Roslan Ab. Ghani, berkata jangkaan itu kerana pihaknya mendapati Malaysia sedang berdepan dengan kesan perubahan iklim ketika ini.

"Kita dapati suasana dan cuaca negara sentiasa dalam keadaan tidak menentu... ia di luar jangka menyebabkan bencana boleh berlaku di luar kawasan dan luar musim.

"Sebab itu, ada kawasan yang tak pernah kena banjir selama ini, sekarang kena."

Hujung tahun lalu sahaja, bencana ini memberi kesan kepada lapan negeri dengan lebih 70,000 kehilangan tempat tinggal serta mencatatkan kerugian kira-kira RM6.1 bilion ($1.86 bilion) bersamaan 0.4 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar.

Ini berlaku pada Disember 2021 dan Januari 2022 apabila Malaysia dikejutkan dengan kejadian banjir melibatkan sekurang-kurangnya lapan negeri di Semenanjung. Paling tidak dijangka, banjir besar melanda Pahang dan Selangor sehingga ia digelar sebagai 'tsunami darat'. Mengimbas kembali, bencana itu mengorbankan seramai 54 orang.

Menurut Ketua Jabatan Perangkaan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berdasarkan Laporan Khas Impak Banjir di Malaysia 2021, aset awam dan infrastruktur mengalami kerugian tertinggi iaitu RM2 bilion, diikuti tempat kediaman (RM1.6 bilion) dan kenderaan (RM1 bilion).

Sebanyak 5,496 kawasan di seluruh negara disenaraikan sebagai lokasi panas atau hotspot banjir, tertinggi adalah di Sarawak dengan 1,034 kawasan.

Ia diikuti Pahang (763), membabitkan daerah Cameron Highlands, Raub, Bentong, Temerloh, Lipis, Bera, Jerantut, Kuantan, Pekan, Rompin dan Maran, manakala Kelantan (595) membabitkan daerah Tumpat, Pasir Mas, Jeli, Gua Musang, Bachok, Tanah Merah, Kota Bharu, Pasir Puteh, Machang dan Kuala Kerai.

Johor pula dengan 432 kawasan di daerah Tangkak, Muar, Batu Pahat, Pontian, Segamat, Mersing, Kota Tinggi, Kulai dan Johor Bahru. - Agensi berita.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg