MANILA: Angka kematian akibat banjir dan tanah runtuh yang disebabkan oleh hujan di Filipina telah meningkat kepada 48 orang, menurut agensi bencana negara Filipina semalam.
Seramai 22 lagi direkodkan hilang selepas ribut tropika Nalgae membanjiri banyak bahagian kepulauan itu.
Data pemerintah menunjukkan sekitar 40 orang cedera dan hampir 170,000 berlindung di pusat pemindahan.
Ribut itu melalui seluruh negara pada hujung minggu ini termasuk ibu kota Manila. Agensi bencana turut menyatakan, sebahagian besar yang terkorban direkodkan di wilayah autonomi selatan, Bangsamoro, di mana 40 orang maut akibat tanah runtuh, dengan 10 masih hilang.
Kelmarin, Presiden Filipina, Encik Ferdinand Marcos Jr, mengarahkan pengagihan bantuan di kawasan yang teruk terjejas dengan segera.
Beliau juga mengarahkan pegawai mengisytiharkan keadaan darurat di wilayah terjejas teruk oleh ribut Nalgae.
Dalam satu kenyataan oleh setiausaha akhbar, Encik Marcos juga inginkan perisytiharan itu meliputi rantau Bicol di bahagian paling selatan Luzon dan Bangsamoro. Beliau juga sedang mengimbangkan cadangan dari Majlis Pengurangan dan Pengurusan Risiko Bencana Negara agar mengisytiharkan negara dalam keadaan darurat selama setahun.
Ini akan mencetuskan pembekuan harga dan membebaskan penggunaan dana kecemasan. - Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg