Topik diikuti
Pergi ke BHkuEU akur sekatan dengan 'kesan maksimum' terhadap Russia
Tindakan ke atas sektor kewangan, kuasa tenaga dan pengangkutan; sekatan AS tidak termasuk eksport kuasa tenaga
EU akur sekatan dengan 'kesan maksimum' terhadap Russia
BRUSSELS: Pemimpin Kesatuan Eropah (EU) menggulung sidang puncak tergempar mereka semalam dengan satu persetujuan mengenakan tindakan terhadap Moscow kerana menyerang Ukraine, dengan menguatkuasakan sekatan "berat" ke atas Russia dalam sektor kewangan, kuasa tenaga dan pengangkutan.
Ketua Suruhanjaya Eropah, Cik Ursula von der Leyen, memberitahu satu sidang media sekatan itu akan meninggalkan "kesan maksimum terhadap ekonomi Russia dan golongan elit politiknya".
Sidang puncak itu dimulakan lewat kelmarin, hari Russia mula membedil sasaran ketenteraan dan menggerakkan kereta kebal serta askarnya memasuki Ukraine, negara jirannya yang pro--Barat.
Dalam satu ucapan dalam sebuah perhimpunan melalui rangkaian video, Presiden Ukraine, Encik Volodymyr Zelensky, memberitahu pemimpin Eropah beliau "tidak tahu apakah saya akan dapat bercakap lagi dengan anda" pada lain masa.
Demikian menurut pemimpin Luxembourg, Encik Xavier Bettel, sejurus sebelum meninggalkan sidang itu.
Cik Von der Leyen berkata paket sekatan itu - yang kedua disepakati EU minggu ini - disasarkan terhadap 70 peratus pasaran perbankan Russia dan juga syarikat utama milik negara itu, termasuk dalam bidang pertahanan.
Sekatan terhadap sektor kuasa tenaga pula termasuk mengharamkan eksport peralatan dan teknologi yang diperlukan Russia bagi meningkatkan keupayaan pusat penapisan minyaknya.
"Pengharaman eksport peralatan pesawat dan pesawat ke Russia pula akan menjejas sektor-sektor penting ekonomi Russia dan sistem perhubungan negara itu," ujar Cik von der Leyen.
"Satu lagi tindakan ialah membataskan bekalan teknologi Russia - ini menjejasnya dalam mendapatkan bekalan teknologi penting yang diperlukannya bagi tujuan pembangunan," kata beliau lagi.
"Akhir sekali, sekatan terhadap visa, diplomat dan kumpulan berkaitan serta usahawan mereka yang tidak akan lagi diberi keistimewaan untuk berkunjung ke negara-negara EU."
Sekatan-sekatan itu dijangka berkuat kuasa seawal hari ini atau esok, sebaik saja teks peraturan sekatan itu disiap dan diluluskan oleh EU.
Pemimpin EU itu turut membincangkan cara mengukuhkan lagi sokongan mereka terhadap ekonomi, politik dan kemanusiaan di Ukraine.
Sementara itu, satu laporan dari Washington mengatakan eksport kuasa tenaga Russia dikatakan terlepas daripada tindakan sekatan tegas yang dikenakan Amerika Syarikat.
Ini kerana Presiden Amerika, Encik Joe Biden, dikatakan cuba mengelakkan berlaku lagi kenaikan harga minyak, sekali gus memburukkan lagi kekurangan bekalan minyak Eropah dan menjadikan harga minyak di Amerika semakin tinggi. - Agensi berita.
Bank Dunia, IMF sedia bantu Ukraine, bimbang kesan perang ke atas ekon global
WASHINGTON: Pemimpin Bank Dunia dan Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) membayangkan mereka bersedia menghulurkan bantuan kepada Ukraine, sambil menyuarakan amaran bahawa pencerobohan Russia itu akan meninggalkan kesan buruk terhadap pemulihan ekonomi global.
Pengarah Urusan IMF, Cik Kristalina Georgieva, berkata beliau "amat bimbang" akan kesan peperangan itu ke atas rakyat Ukraine, dan mengingatkan bahawa "konflik itu akan menambah lagi risiko ekonomi di rantau tersebut dan juga dunia".
IMF akan terus menilai kesan-kesan ekonomi tetapi "tetap bersedia membantu negara anggota kami sekiranya perlu," kata beliau.
Institusi bantuan pinjaman krisis berpangkalan di Washington itu juga dalam proses mengirimkan bantuan berjumlah AS$2.2 bilion ($3 bilion) kepada Ukraine di bawah rancangan pinjaman yang dijadualkan berakhir Jun ini.
Cik Georgieva juga berkata dana tersebut boleh juga membantu negara lain yang turut terjejas ekoran konflik itu jika difikirkan perlu.
Presiden Bank Dunia, Encik David Malpass, pula berkata dalam satu kenyataan bahawa institusi penyediaan dana pinjaman bagi pembangunan di Washington itu kesal akan keganasan mengejutkan itu yang turut meragut nyawa.
Beliau memberi amaran bahawa "perkembangan buruk yang berlaku di Ukraine itu akan meninggalkan kesan ekonomi dan sosial mendalam".
"Kami bersedia segera menghulurkan bantuan kepada Ukraine dan sedang menyiapkan beberapa pilihan, termasuk bantuan kewangan segera," kata Encik Malpass.
Beliau kemudian menambah bahawa Bank Dunia dan IMF menyelaraskan pemantauan kesan-kesan akibat serangan Russia itu.
Kenyataan Bank Dunia itu dibuat selepas Encik Malpass memberitahu Presiden Ukraine, Encik Volodymyr Zelenskiy, Sabtu lalu bahawa bank dunia itu bersedia mengirimkan $350 juta untuk membantu Ukraine menjelang hujung bulan depan.
Bagaimanapun, tidak jelas dari manakah sumber kewangan itu akan didatangkan untuk membantu rakyat Ukraine sekiranya pemerintah Encik Zelenskiy yang dipilih secara demokratik itu digulingkan secara paksa oleh tentera Russia. - AFP, Reuters.