Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Bantahan berterusan walaupun Iran ambil tindakan keras

Oct 13, 2022 | 05:30 AM



DUBAI: Pertelingkahan antara penunjuk perasaan dan pasukan keselamatan berterusan di seluruh Iran kelmarin, dengan video media sosial menunjukkan kereta kebal dikerahkan ke kawasan Kurdish, yang menjadi tumpuan tindakan tegas ke atas bantahan menyusuli kematian Cik Mahsa Amini dalam tahanan.



Bantahan mendesak kejatuhan pemerintah agama itu telah melanda Iran sejak Cik Amini, seorang wanita Kurdish Iran berusia 22 tahun, meninggal dunia pada 16 September semasa ditahan polis di Teheran kerana "pakaian yang tidak sesuai".



Walaupun pemerhati tidak percaya pergolakan yang kini memasuki minggu keempat, berupaya menggulingkan pemerintah Iran, bantahan itu menandakan salah satu cabaran paling berani kepada Republik Islam sejak revolusi 1979, dengan laporan mogok merebak ke sektor tenaga penting.



Pihak berkuasa sedang melancarkan tindakan keras yang membawa maut.



Video di media sosial menunjukkan trak mengalihkan kereta kebal hijau gelap ke kawasan Kurdish, meningkatkan pemberontakan yang semakin sengit. Reuters tidak dapat mengesahkan rakaman video tersebut.



Ketegangan amat memuncak di wilayah Kurdish, memandangkan latar belakang etnik Cik Amini.



Kumpulan hak asasi manusia mengatakan bahawa minoriti Kurdish Iran yang berjumlah lebih 10 juta telah lama ditindas - tuduhan yang dinafikan Republik Islam.



Kumpulan hak asasi manusia Hengaw melaporkan "konflik sengit" berlaku kelmarin antara penunjuk perasaan dan pasukan keselamatan di tiga bandar di wilayah Kurdistan: Sanandaj, Baneh dan Saqez, tempat Cik Amini dikebumikan bulan lalu.



Penunjuk perasaan di Saqez membakar patung anggota tempatan Pengawal Revolusi Iran, kata Hengaw.



Dalam rakaman video yang dikongsi di kumpulan akaun Twitter yang diikuti ramai Tavsir1500 dari Sanandaj, tembakan boleh kedengaran dan suara wanita menjerit.



Reuters tidak dapat mengesahkan secara bebas rakaman daripada Hengaw atau Tasvir1500.



Sekurang-kurangnya 185 orang, termasuk 19 kanak-kanak bawah umur, terbunuh, ratusan cedera dan ribuan ditangkap oleh pasukan keselamatan, menurut kumpulan hak asasi manusia.



Pemerintah berkata lebih 20 anggota pasukan keselamatan terbunuh.



Pihak berkuasa Iran berkata mereka akan menyiasat kematian orang awam.



Mereka menyalahkan keganasan angkara pelbagai musuh, termasuk penentang Kurdish Iran bersenjata, dengan Pengawal Revolusi menyerang pangkalan mereka di negara jiran Iraq beberapa kali semasa pergolakan terbaru.



Menteri Dalam Negeri Encik Ahmad Vahidi mengulangi tuduhan bahawa kumpulan penentang Kurdish Iran menyokong protes dan berkata pasukan keselamatan akan "mematahkan usaha terdesak anti-revolusioner".



Loji tenaga di barat daya Iran dilanda mogok buat hari kedua kelmarin, dengan pekerja membantah di kilang penapisan minyak Abadan, Kangan, dan loji petrokimia Bushehr, menurut akaun Twitter Tavsir1500.



Video yang disiarkan pada akaun itu menunjukkan beberapa dozen pekerja melaungkan "kematian kepada diktator", merujuk kepada Pemimpin Tertinggi Ayatollah Ali Khamenei.



Seorang pegawai wilayah berkata pekerja di kilang Assaluye marah dengan pertikaian mengenai gaji dan tidak membantah kematian Cik Amini.



Gabenor Ali Hashemi berkata beberapa rakyat Iran telah cuba mengambil alih bantahan pekerja dengan melaungkan slogan antipemerintah, menurut akaun Telegram Berita Kelab Wartawan Muda Iran.



Empat dekad lalu, gabungan protes besar-besaran dan mogok oleh pekerja minyak dan pedagang bazar membantu memberi kuasa kepada ketua agama Syiah berkuasa dalam revolusi Iran.



Puluhan universiti juga kini sedang melancarkan mogok, dengan pelajar memainkan peranan penting dalam bantahan itu.



Di beberapa kawasan kejiranan Teheran, seperti Shahrak'e Gharb dan Narmak, saksi berkata orang ramai melaungkan "kematian kepada Khamenei" dari atas bumbung pada sebelah malam.



Video di media sosial menunjukkan tunjuk perasaan di bandar Isfahan dan Qom dengan penunjuk perasaan mengutuk dan membaling batu ke arah pasukan keselamatan.



Tindakan keras pihak berkuasa terhadap penunjuk perasaan telah mendorong beberapa negara Barat untuk mengenakan lebih banyak sekatan ke atas Iran, mencetuskan ketegangan diplomatik pada masa rundingan untuk memulihkan perjanjian nuklear 2015 Tehran dengan kuasa dunia terhenti.



Menteri Luar Perancis berkata lima rakyatnya ditahan di Iran dan Kesatuan Eropah bersetuju mengenai aspek teknikal untuk mengenakan sekatan ke atas Teheran, yang akan berkuat kuasa minggu depan.



Perancis menyelar Iran pada 6 Oktober, menuduhnya melakukan "amalan diktator" dan menjadikan rakyatnya sebagai tebusan selepas video disiarkan di mana sepasang suami isteri Perancis kelihatan mengaku melakukan pengintipan. - REUTERS.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >