Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Bantahan di Iran berterusan, ramai aktivis ditahan

Sep 29, 2022 | 05:30 AM



DUBAI (Amiriah Arab Bersatu): Polis pencegah rusuhan Iran dan pasukan keselamatan negara itu telah bertempur dengan para penunjuk perasaan di bandar-bandar serata Iran, menurut media tempatan dan media sosial negara itu.



Ini setelah rakyat melahirkan rasa marah atas kematian wanita muda, Cik Mahsa Amini, semasa dalam tahanan polis.



Cik Amini, 22 tahun, dari kota Saqez di barat laut Kurdi, telah ditangkap pada 13 September lalu di Teheran kerana berpakaian "kurang sopan" oleh polis pencegah maksiat yang melaksanakan peraturan ketat dalam soal etika pemakaian menurut undang-undang Iran.



Beliau meninggal dunia tiga hari kemudian di hospital selepas jatuh koma, hingga menyebabkan bantahan besar-besaran di jalanan - yang pertama sejak pihak berkuasa melarang tindakan serupa akibat kenaikan harga minyak pada 2019.



Selain memberkas penunjuk perasaan, Iran juga dilaporkan telah meningkatkan penahanan aktivis dan wartawan dalam tindakan keras terhadap masyarakat sivil ketika protes antipemerintah terus dijalankan di seluruh negara, kata kumpulan aktivis.



Menurut Jawatankuasa Melindungi Wartawan (CPJ) yang berpangkalan di Washington, 20 orang wartawan telah dipenjarakan sejak protes tercetus awal bulan ini menyusuli kematian Cik Mahsa.



Ramai aktivis dan peguam turut ditahan, termasuk aktivis kebebasan bersuara yang terkenal, Encik Hossein Ronaghi, yang ditahan hujung minggu lalu.



Dalam satu hantaran video pada hujung minggu lalu, Encik Ronaghi, yang sangat lantang mengkritik kepemimpinan Islam di Iran, berkata pada mulanya beliau mengelak daripada ditahan dengan melarikan diri dari flatnya apabila ada ejen datang mencari.



Bagaimanapun, beliau kemudiannya ditahan pada Sabtu lalu apabila pergi ke penjara Evin Teheran untuk bertemu pendakwa raya dan turut dipukul oleh ejen keselamatan, ciap abangnya, Encik Hassan, menerusi saluran media sosial, Twitter.



Ibunya memberitahu Manoto TV dalam satu temu bual bahawa kaki Encik Ronaghi patah akibat dipukul.



Laporan turut menyebut peguam yang menemaninya ke Evin telah ditahan.



Seorang peguam, Encik Saeid Dehghan, memberitahu menerusi Twitter bahawa dua peguam lain turut ditahan.



"Ini bermakna membela penunjuk perasaan adalah dilarang!" katanya.



Tindakan itu dilakukan selepas sekatan Internet yang ketat termasuk penggunaan Instagram dan WhatsApp, yang menurut aktivis bertujuan menghalang berita mengenai protes berkenaan tersebar ke dunia luar.



"Dengan menyasarkan wartawan di tengah-tengah siri keganasan itu selepas menyekat akses kepada WhatsApp dan Instagram, pihak berkuasa Iran menghantar mesej jelas bahawa tidak dibenarkan liputan protes itu," kata Reporters Without Borders dalam satu kenyataan.



Pada Isnin lalu, pasukan keselamatan menyerbu rumah aktivis dan penulis, Cik Golrokh Iraee, serta menahannya.



Perkara itu dikongsi menerusi mesej di akaun Twitternya. Cik Iraee terkenal kerana berkempen menentang hukuman rejam di Iran dan menghabiskan sebahagian besar dekad hidupnya di penjara. - Reuters, AFP.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >