Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Bantahan di Myanmar berterusan

Mar 2, 2021 | 5:30 AM
MASIH BERGOLAK: Para penunjuk perasaan di Yangon lari apabila gas pemedih mata dilemparkan bagi memaksa mereka bersurai dalam bantahan semalam. - Foto AFP
MASIH BERGOLAK: Para penunjuk perasaan di Yangon lari apabila gas pemedih mata dilemparkan bagi memaksa mereka bersurai dalam bantahan semalam. - Foto AFP -

YANGON: Pembantah di Myanmar terus menunjuk perasaan semalam menyusuli tindakan keras pihak berkuasa yang meragut nyawa sekurang-kurangnya 18 orang kelmarin.

Ini sedang gesaan bagi respons antarabangsa yang lebih padu kian bertambah selepas keganasan paling teruk itu berlaku sejak ketua tentera Min Aung Hlaing melaksanakan kudeta pada dinihari 1 Februari lalu.

Pertempuran antara pembantah dengan pihak berkuasa berlaku di pelbagai bahagian negara tersebut kelmarin dan polis melepaskan tembakan ke arah orang ramai di bandar terbesar Yangon, selepas gas pemedih mata dan tembakan amaran gagal menyuraikan penunjuk perasaan yang menuntut agar pentadbiran Cik Aung San Suu Kyi dikembalikan kuasanya.

Polis menggunakan semburan air manakala kenderaan tentera pula dikerah di beberapa tempat tunjuk perasaan itu berlaku di Yangon semalam.

Sementara itu, penunjuk perasaan berhimpun di Kale, di bahagian barat laut Myanmar, sambil memegang gambar Cik Suu Kyi dan meneriakkan berulang-ulang "demokrasi, tujuan kami, tujuan kami".

Video yang dirakam secara langsung di Facebook menunjukkan sekumpulan kecil orang memakai topi keselamatan dekat Lashio, Shan State, sambil berteriak sementara polis menuju ke arah mereka.

"Sudah sebulan sejak kudeta berlaku. Mereka mengambil tindakan keras terhadap kami dengan melepaskan tembakan semalam. Kami akan terus keluar hari ini," ujar pemimpin tunjuk perasaan terkemuka Ei Thinzar Maung.

Setiausaha Negara Amerika, Encik Antony Blinken, mengecam apa yang disifatkannya sebagai keganasan yang cukup teruk oleh pasukan keselamatan.

Menteri ehwal luar Canada Marc Garneau pula menyifatkan tindakan tentera menggunakan kekerasan terhadap rakyatnya sendiri sebagai cukup dahsyat.

Myanmar dibelenggu gejolak sejak tentera merampas kuasa dan menahan pemimpin pemerintah yang dipilih, Cik Suu Kyi, dan pucuk pimpinan partinya pada 1 Februari lalu.

Mereka mendakwa terdapat penipuan besar-besaran dalam pilihan raya pada November lalu, dengan parti Cik Suu Kyi meraih kemenangan besar.

Cik Suu Kyi menghadapi tuduhan mengimport enam alat perhubungan (walkie-talkie) tidak berdaftar secara terlarang dan melanggar undang-undang bencana alam semula jadi dengan tidak mematuhi protokol koronavirus.

Kudeta yang menghambat kemajuan Myanmar terhadap demokrasi selepas hampir 50 tahun pemerintahan tentera telah menarik ratusan ribu pembantah menunjuk perasaan di jalan raya dan mengutuk negara Barat.

Pelapor Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Encik Tom Andrews, berkata adalah jelas serangan junta akan berterusan.

Oleh itu, masyarakat antarabangsa perlu meningkatkan responsnya.

Beliau turut mengusulkan larangan eksport senjata sedunia, lebih banyak sekatan dari lebih banyak negara terhadap pihak di sebalik kudeta itu, sekatan terhadap perniagaan tentera serta rujukan Majlis Keselamatan PBB kepada Mahkamah Jenayah Antarabangsa.

"Langkah mengutuk dialu-alukan tetapi tidak mencukupi. Kita harus bertindak.

"Gejolak yang berlaku di Myanmar sekarang akan bertambah teruk. Dunia juga harus bertindak," ujar Encik Andrews. - Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg