Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Bapa lemas selepas selamatkan anak dalam kereta

Mar 29, 2023 | 5:30 AM
LEMAS: Seorang lelaki lemas selepas hanyut ketika selamatkan anak lelakinya yang terperangkap dalam sebuah kereta yang terjatuh ke dalam Sungai Kampung Imbahan di Putatan, Sabah. - Foto Facebook JABATAN BOMBA DAN PENYELAMAT MALAYSIA
LEMAS: Seorang lelaki lemas selepas hanyut ketika selamatkan anak lelakinya yang terperangkap dalam sebuah kereta yang terjatuh ke dalam Sungai Kampung Imbahan di Putatan, Sabah. - Foto Facebook JABATAN BOMBA DAN PENYELAMAT MALAYSIA -

KOTA KINABALU: Seorang lelaki berusia 40 tahun lemas selepas hanyut ketika menyelamatkan anak lelakinya yang terperangkap dalam sebuah kereta yang terjatuh ke dalam Sungai Kampung Imbahan di Putatan, Sabah, pada Ahad.

Pasukan mencari dan menyelamat menemui mayat Encik Lasibi Lawadihu kira-kira 9 pagi Isnin, sekitar 16 jam selepas mangsa hilang dalam sungai tersebut.

Ketua Polis Daerah Penampang, Timbalan Superintenden (DSP) Mohd Haris Ibrahim, berkata operasi mencari dan menyelamat (SAR) itu membabitkan hampir 70 pegawai dan anggota daripada agensi keselamatan.

"Operasi disertai Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Empat Sabah, Pasukan Gerakan Udara (PGU) Pangkalan Sabah, Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan penduduk kampung.

"Alhamdulillah, pada jam 9.15 pagi (Isnin), pasukan SAR berjaya menemukan mangsa dalam keadaan terapung 300 meter dari lokasi di mana mangsa dilihat tenggelam ketika menyelamatkan anaknya," ujarnya.

Tambahnya, mangsa telah dibawa ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) bagi tindakan lanjut selepas itu.

Dalam kejadian pada 5.30 petang Ahad itu, mangsa dikatakan terjun ke dalam sungai berkenaan selepas kereta jenis Perodua Myvi yang ketika itu dinaiki anaknya, Mushab Umair Lasibi, lima tahun, secara tiba-tiba bergerak dan terjunam ke dalam sungai.

Mangsa yang berada di tebing dan sedang memancing terus terjun ke dalam sungai untuk menyelamatkan anaknya.

Mangsa berjaya mengeluarkan anaknya daripada kereta tersebut sebelum dibantu oleh orang awam yang berada di kawasan berkenaan.

Mangsa bagaimanapun tiba-tiba hilang, dipercayai tenggelam.

Sementara itu, DSP Mohd Haris mengingatkan orang awam yang tinggal di sekitar Putatan supaya tidak melakukan kegiatan di sungai berkenaan.

"Dua tahun lalu, turut berlaku (kejadian) membabitkan kanak-kanak lemas di kawasan yang sama.

"Jadi, kita khuatir mungkin akan berlaku lagi kejadian sama pada masa akan datang," katanya. - Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg