Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

‘Barbie Manusia’ Brazil yang jalani 27 pembedahan kosmetik ditemui mati

Nov 6, 2025 | 3:13 PM
Pempengaruh media sosial Brazil, Barbara Jankavski, 31 tahun, ditemui mati di sebuah rumah jenis ‘townhouse’  di Sao Paulo.
Pempengaruh media sosial Brazil, Barbara Jankavski, 31 tahun, ditemui mati di sebuah rumah jenis ‘townhouse’  di Sao Paulo. - Foto Instagram BONECA DESUMANA

SAO PAULO, Brazil: Seorang pempengaruh media sosial Brazil yang terkenal kerana menjalani puluhan pembedahan kosmetik untuk menyerupai patung Barbie ditemui mati di sebuah rumah bandar di Sao Paulo pada 2 November.

Mangsa, Cik Barbara Jankavski, 31 tahun, ditemui hanya berpakaian dalam dengan kecederaan di mata kiri serta kesan lebam di bahagian belakang badan, menurut pihak berkuasa pada 5 November.

Cik Jankavski, lebih dikenali dengan nama dalam talian “Boneca Desumana” (Patung Tanpa Manusiawi), mempunyai lebih 400,000 pengikut di media sosial seperti Instagram dan TikTok. Beliau pernah mendokumentasikan 27 pembedahan kosmetik termasuk pembedahan muka dan hidung, dalam usahanya mencapai penampilan seperti patung Barbie yang membuatkan para peminat memanggilnya “Barbie Manusia”.

Menurut laporan media tempatan, pasukan penyelamat yang tiba di tempat kejadian tidak berjaya menghidupkan semula mangsa selepas menerima panggilan kecemasan.
Stesen CNN Brazil melaporkan bahawa seorang pegawai pembela awam berusia 51 tahun, dikenali sebagai Renato Campos Pinto de Vitto, memberitahu penyiasat bahawa beliau telah menyewa perkhidmatan seksual Jankavski pada hari kejadian.

Mereka dikatakan telah mengambil bahan terlarang bersama-sama sebelum wanita itu tidak sedarkan diri. “Dia memberitahu polis bahawa hanya menyedari Barbara tidak bergerak selepas dia tertidur,” kata kenyataan polis yang dipetik CNN Brazil.

Seorang rakan lelaki itu pula mendakwa bahawa kecederaan pada mata dan belakang mangsa mungkin disebabkan terjatuh lebih awal pada hari yang sama.

Polis kini mengklasifikasikan kes itu sebagai kematian mencurigakan dan telah mengarahkan bedah siasat serta ujian toksikologi bagi menentukan punca sebenar kematian.

Cik Jankavski mula meraih perhatian selepas sering berkongsi video dan gambar tentang prosedur pembedahan kosmetik yang dilakukannya.

Dalam satu hantaran pada September lalu, beliau memuat naik video menunjukkan matanya yang lebam dan berdarah selepas pembedahan terbaru, sambil bergurau bahawa parutnya kini “hampir tidak kelihatan”.

Pemeriksaan mendapati aktiviti media sosialnya merosot mendadak sejak Oktober, dengan hantaran terakhir di Instagram dibuat pada 1 Oktober.

“Rasa sedih yang mendalam. Saya selalu suka kandungan videonya. Semoga kamu tenang di sana,” tulis seorang pengguna Instagram, @cintia_nogarolli, di ruangan komen.

Seorang lagi pengguna, @ally_crf, menulis: “Bersemadilah dengan tenang. Kamu hidup dengan cara yang saya impikan, dan itu sedikit sebanyak menghiburkan kami.”

Kematian Cik Jankavski menambah kepada senarai pempengaruh Brazil yang meninggal dunia secara tiba-tiba dalam tempoh sebulan kebelakangan ini. Dalam kejadian lain baru-baru ini, pempengaruh kecergasan Fernanda Oliveira da Silva, turut dilaporkan ditemui mati di rumahnya, menyebabkan kebimbangan tentang tekanan dan gaya hidup ekstrem dalam dunia media sosial.

Siasatan terhadap kematian Barbara Jankavski masih diteruskan, sementara masyarakat dalam talian terus berkongsi rasa simpati dan kekaguman terhadap wanita yang dikenali ramai sebagai “Boneca Desumana” - simbol kecantikan, obsesi, dan akhirnya tragedi. Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg