Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:14
Maghrib
7:15
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

CATATAN

Batal HSR: Imbangi kesan positif dan negatif bagi M'sia

Jan 07, 2021 | 05:30 AM



BERITA besar pembuka tirai 2021 adalah pengumuman bahawa projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura tidak akan diteruskan, setelah kedua-dua negara gagal mencapai persetujuan mengenai perubahan yang disarankan Malaysia menjelang tarikh akhir 31 Disember 2020.



Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Perdana Menteri Singapura, Encik Lee Hsien Loong mengumumkan dalam kenyataan bersama mereka bahawa kedua-dua negara jiran itu patuh dan akur kepada tanggungjawab masing-masing.



Penamatan projek itu kira-kira dua bulan selepas Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz membentangkan dalam Belanjawan 2021 kerajaan berhasrat meneruskan projek HSR yang dijangka menjana kesan pengganda positif terhadap ekonomi negara.



Berikutan keputusan itu difahamkan kerajaan Malaysia perlu membayar RM300 juta ($97.9 juta) pampasan kepada Singapura seperti yang termaktub dalam perjanjian yang ditandatangani kedua-dua negara pada 13 Disember 2016.



Sebelum itu, Malaysia juga membayar pampasan RM45 juta kepada negara jiran itu kerana meminta projek tersebut ditangguhkan pada 31 Mei kepada 31 Disember tahun lalu.



Malaysia memberi alasan projek itu tidak dapat diteruskan berikutan kesan pandemik Covid-19 kepada ekonomi negara. Jika diteliti kepada keputusan itu, ada kesan positif dan negatif kepada ekonomi negara dalam jangka masa panjang.



Pada peringkat perancangan projek, antara manfaatnya menjadikan Lembah Klang atau Greater Kuala Lumpur (GKL) sebagai lokasi pilihan bagi perniagaan sekali gus dapat melancarkan aliran individu serta perniagaan di antara Malaysia dengan Singapura.



Selain itu, melalui HSR juga pembangunan sosioekonomi bandar di sepanjang koridor akan turut dipertingkat.



Sebagai contoh, laluan HSR di Perancis dan China telah mendatangkan faedah kepada sosioekonomi.



Bandar Lille yang ekonominya merudum akibat penutupan industri tradisional, termasuk perlombongan arang batu kembali pulih apabila laluan HSR Train à Grand Vitesse (TGV) dihalakan ke bandar untuk meraih manfaat yang ditawarkan laluan pengangkutan baru.



Kini Lille adalah titik nod antara Paris, Brussels dengan London.



Begitu juga, HSR China (HSRC) telah muncul sebagai kejayaan yang tidak dijangka.



Pakar ekonomi dan pengangkutan menyifatkan kereta api berkelajuan tinggi sebagai salah satu sebab pertumbuhan ekonomi yang berterusan di China.



Negara itu memperkenalkan dasar pemindahan sejumlah besar penduduk yang memiliki rumah di tengah landasan dan membina kawasan kediaman dan komersial baru di sekitar stesen HSR.



Selepas lima tahun dilancarkan, bilangan penumpang meningkat hampir dua kali ganda setiap bulan sama dengan industri penerbangan domestik negara.



Projek HSR Malaysia-Singapura pula dijadualkan siap pada 2026 dan akan memendekkan masa perjalanan antara Kuala Lumpur-Singapura sejauh 350 kilometer kepada 90 minit.



Rasional pengenalan projek HSR disebabkan laluan udara Kuala Lumpur Malaysia antara yang sibuk di dunia selain permintaan tinggi laluan darat yang menguntungkan.



Projek HSR yang dipelopori oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) adalah projek jangka panjang dan hasil pelaburannya hanya akan dapat diperolehi pada beberapa tahun akan datang, pertumbuhan trafik yang ketara selain kesan limpahan manfaat ekonomi berkaitan projek ini.



Sebelum ini, mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyatakan projek HSR memberi manfaat ekonomi sehingga RM650 bilion bagi Hasil Kasar Dalam Negeri (GDP) sehingga 2069 selain akan wujud 110,000 peluang pekerjaan dan ia diunjurkan akan meningkat sehingga 442,000 menjelang 2069.



Kalau diambil pendekatan positif projek HSR ini, HSR adalah jawapan kepada masalah yang dihadapi masyarakat moden berhubung membuat hitungan setiap masa selain tidak mampu menghabiskan masa perjalanan jarak jauh. Begitu juga masalah penjimatan tenaga yang meluas, pergerakan yang lebih cekap dan mengurangkan kerosakan alam sekitar.



Projek HSR juga membawa banyak manfaat ekonomi dan sosial bagi Malaysia dan Singapura. Peluang pembangunan yang besar akan diwujudkan kerana semua perhentian dilengkapi dengan sistem pengangkutan awam tempatan.



Berikutan itu, ia menggalakkan kepadatan penduduk dan perniagaan geografi sekali gus menghasilkan modal insan dan tenaga kerja yang terus berkembang.



Bagaimanapun, ramai pihak menyokong keputusan kerajaan Malaysia tidak meneruskan projek berkenaan kerana keadaan ekonomi negara yang tidak menentu selain peruntukan projek itu boleh digunakan untuk kepentingan dan kebajikan rakyat.



Keputusan kerajaan Malaysia juga sebagai bertepatan kerana keadaan negara yang berdepan dengan ketidaktentuan ekonomi global berikutan pandemik Covid-19.



Jika dikaji secara mendalam kesan keputusan itu, pembatalan projek HSR itu tidak memberi kesan besar terhadap sistem pengangkutan awam di Johor, selain banyak kemudahan awam termasuk dari Kuala Lumpur ke Singapura. Pembatalan projek itu juga dapat mengurangkan beban kos pembangunan negara.



Pada masa sama, masih ada pihak mahu kerajaan meneruskan projek HSR atau diganti dengan projek kereta api Kuala Lumpur-Johor Bahru menggunakan teknologi ETS KL Sentral ke KLIA yang lebih perlahan berbanding kereta api 350km sejam untuk projek asal. Kosnya dilaporkan lebih RM63 bilion iaitu tidak jauh berbeza dengan kos HSR.



Bagaimanapun, cadangan penggantian projek HSR itu dianggap tidak masuk akal dan tidak memberi manfaat ekonomi kerana jajaran KL-JB sudah mempunyai landasan kereta api sedia ada. Projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas-JB (ETS) yang sedang dijalankan itu melibatkan kos RM10 bilion dan dijangka siap pada 2022.



Mantan Menteri Pengangkutan, Encik Anthony Loke, sebelum ini berkata apabila landasan berkembar itu disiapkan, iaitu landasan berkembar sedia ada di antara Padang Besar di utara menyambung terus ke Johor Bahru di selatan membolehkan perkhidmatan ETS yang dikendalikan oleh KTMB akan ditawarkan kepada orang ramai.



Kerajaan pula tidak perlu mengeluarkan perbelanjaan lebih RM63 bilion membina jajaran baru KL-JB kerana kemudahan perkhidmatan ETS KTMB akan dilengkapi dengan Sistem Transit Rapid Link (RTS Link) JB-Singapura yang dijangka bermula pada penghujung 2026.



Projek itu turut membabitkan pembinaan Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQ) masing-masing di Bukit Chagar, dan Woodlands di Singapura.



Projek yang menelan kos RM3.7 bilion itu dijangka mampu menampung 10,000 penumpang bagi setiap perjalanan dengan maksimum 288,000 penumpang sehari.



Pada ketika ini kerajaan Perikatan Nasional (PN) perlu melupakan sebarang projek mega pengangkutan kerana kekangan kewangan dan lebih menjimatkan kewangan negara dengan menyiapkan projek ETS Gemas-JB dan RTS Link.



Projek HSR mungkin akan diteruskan di masa depan selepas ekonomi Malaysia pulih sebab ia memberi manfaat besar kepada duadua negara terutama pertumbuhan ekonomi sepanjang bandar perhentian HSR berkenaan.



Bagaimanapun, jika diteruskan ia perlu penyertaan bersama kerajaan dan swasta bagi memaksimumkan kos.



Pada masa sama, projek yang tercetus ketika pemerintahan kerajaan BN, tidak mustahil diteruskan jika BN menerajui semula Malaysia kerana projek mega seperti HSR akan meninggalkan legasi kerajaan BN sebagai pelopor pengangkutan negara.




"Bagaimanapun, ramai pihak menyokong keputusan kerajaan Malaysia tidak meneruskan projek berkenaan kerana keadaan ekonomi negara yang tidak menentu selain peruntukan projek itu boleh digunakan untuk kepentingan dan kebajikan rakyat.

Keputusan kerajaan Malaysia juga sebagai bertepatan kerana keadaan negara yang berdepan dengan ketidaktentuan ekonomi global berikutan pandemik Covid-19.

Jika dikaji secara mendalam kesan keputusan itu, pembatalan projek HSR itu tidak memberi kesan besar terhadap sistem pengangkutan awam di Johor, selain banyak kemudahan awam termasuk dari Kuala Lumpur ke Singapura. Pembatalan projek itu juga dapat mengurangkan beban kos pembangunan negara."

- Penulis.




File

Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >