'Beatle' ISIS dijel seumur hidup kerana dalangi pembunuhan tebusan AS
'Beatle' ISIS dijel seumur hidup kerana dalangi pembunuhan tebusan AS
ALEXANDRIA (Virginia): Anggota kumpulan militan ISIS atau juga disebut 'Daesh', El Shafee Elsheikh, atau nama panggilannya 'Beatle' dijatuhi hukuman penjara seumur hidup kelmarin oleh mahkamah di Amerika Syarikat atas kesalahan mendalangi pembunuhan tebusan negara itu.
El Shafee, bagaimanapun, menafikan keganasan yang dilakukannya iaitu dakwaan memenggal kepala tebusan dan merakamkannya selepas gagal mendapatkan wang tebusan.
Pendakwaan itu membabitkan pembunuhan empat tebusan Amerika iaitu James Foley, Steven Sotloff, Peter Kassig dan Kayla Mueller.
Melalui rakaman video, tiga daripada mereka dibunuh dengan dipenggal kepala, manakala seorang lagi, Mueller, dipaksa menjadi hamba seks dan dirogol beberapa kali oleh pemimpin Daesh, Abu Bakr al-Baghdadi, sebelum dibunuh.
Menurut pendakwa raya Mahkamah Daerah Alexandria di Virginia, El Shafee, yang dibesarkan di London, adalah ahli kumpulan Daesh paling tinggi pangkatnya dan terkenal yang pernah disabitkan di mahkamah negara itu.
El Shafee dan rakannya dari Britain, Alexanda Kotey dan Mohammed Emwazi mengetuai rancangan tawanan tebusan Daesh, yang menculik lebih 20 warga Barat sedekad lalu.
Kotey sebelum ini sudah dijatuhi hukuman penjara seumur hidup, manakala Mohammed pula terbunuh dalam serangan dron.
Tebusan menggelarkan 'tiga sekawan' itu Beatles kerana loghat British mereka.
Penampilan mereka, sentiasa bertopeng, menimbulkan ketakutan dalam kalangan tebusan kerana kekejaman yang mereka tunjukkan.
Menurut Penolong Pendakwa Raya, Encik Raj Parekh, pendakwaan itu mengakhiri tindakan Beatles yang bersifat kejam. - Agensi

