VARIAN Delta Covid-19 yang mudah berjangkit kian menimbulkan masalah besar di beberapa negara Asia, membuat jangkitan koronavirus itu melonjak.
Varian itu semakin menjadi lebih dominan dalam gelombang terbaru jangkitan Covid-19, menyebabkan kebimbangan pemerintah yang sebilangannya terpaksa melaksana sekatan lebih ketat.
Ini termasuk Korea Selatan, yang melaporkan kes tinggi 1,150 kelmarin, pada hari sama ia melaksana sekatan paling ketat ke atas penduduk dan kegiatan perniagaan di ibu kota Seoul.
Negara itu sedang memerangi pandemik terburuknya sejak penularan Covid-19 bermula awal tahun lalu.
Pada Jumaat lalu, Korea Selatan melaporkan rekod kes harian tertinggi sebanyak 1,378.
Sejauh ini gelombang jangkitan di negara itu telah menyebabkan lebih banyak kes jangkitan serius dan kematian berbanding gelombang jangkitan sebelumnya.
Lebih ramai warga Korea Selatan yang lebih tua dan lebih berisiko kini diberi vaksin terhadap virus tersebut.
Namun, pihak berkuasa kesihatan telah melahirkan keprihatinan mengenai peningkatan jumlah pesakit muda yang belum menerima suntikan vaksin, dan penularan varian Delta dalam gelombang terbaru jangkitan ini.
Mulai kelmarin, pihak berkuasa melaksana langkah jarak selamat paling ketat di ibu kota Seoul dan kawasan berdekatannya buat kali pertama, termasuk larangan perhimpunan lebih dua orang selepas 6 petang.
Sementara itu, jangkaan perintah sekatan dilanjutkan di bandar Sydney, Australia, kian meningkat sedang pegawai kesihatan negara itu melaporkan satu lagi peningkatan harian kes Covid-19, disebabkan varian Delta.
Ketua Menteri New South Wales (NSW), Cik Gladys Berejiklian, telah memberi amaran kepada lebih lima juta penduduk Sydney, iaitu ibu negeri wilayah itu, supaya jangan leka.
Ini walaupun beliau melaporkan 89 kes baru dalam masyarakat semalam, turun daripada rekod tertinggi 112 kes kelmarin.
"Satu hari tidak menjadi trend, jumlahnya boleh naik semula," kata Cik Berejiklian dalam satu sidang media di televisyen.
Malah, pegawai kesihatan Australia melahirkan kebimbangan ada risiko pandemik terbaru itu menunjukkan tanda-tanda awal ia akan merebak secara lebih meluas.
Sementara itu di Bangkok, lebih 10 juta orang ditempatkan di bawah perintah sekatan Covid-19 dan perintah berkurung terbaru mulai kelmarin, sedang kerajaan Thailand memerangi lonjakan kes yang diperburuk oleh varian Delta dan juga Alpha.
Thailand setakat ini mencatat lebih 345,000 kes jangkitan dan 2,791 kematian - sebahagian besar mangsa dijangkiti dalam gelombang terbaru jangkitan yang bermula April lalu.
Sebanyak 8,656 jangkitan dan 80 kematian dicatatkan kelmarin.
Sementara itu, Indonesia mencatat rekod angka harian jangkitan Covid-19 apabila ia melaporkan 40,427 kes kelmarin, berdasarkan data sebuah pasukan petugas di negara itu.
Sebanyak 891 kematian baru dilaporkan kelmarin, menjadikan jumlah korkan Covid-19 di negara terbesar di Asia Tenggara itu mencecah 67,355, setakat ini.
Indonesia mencatat lebih 2.5 juta kes Covid-19 secara keseluruhannya.
Negara itu juga telah melaksana sekatan lebih ketat Pemberlakuan Pembatasan Kegiatan Masyarakat (PPKM) Darurat di pulau Jawa dan Bali dari 3 hingga 20 Julai.
Langkah itu diambil bagi membendung penularan gelombang terbaru Covid-19, dengan varian Delta merupakan jangkitan yang semakin meningkat. - Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg