Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Beberapa negara teroka perketat pengurusan Covid-19 susuli langkah China buka sempadan

Antara langkah diambil termasuk pertingkat pemeriksaan kesihatan dan uji air sisa
Jan 4, 2023 | 5:30 AM
JALANI PEMERIKSAAN KESIHATAN WAJIB: Pengunjung dari China diiringi oleh pegawai kuarantin ke stesen ujian Covid-19 sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon, Korea Selatan, kelmarin, apabila pemerintah Korea Selatan mula mewajibkan ujian PCR ke atas semua pelancong dari China memandangkan virus itu kini merebak dengan meluas di negara jiran. - Foto EPA-EFE
JALANI PEMERIKSAAN KESIHATAN WAJIB: Pengunjung dari China diiringi oleh pegawai kuarantin ke stesen ujian Covid-19 sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon, Korea Selatan, kelmarin, apabila pemerintah Korea Selatan mula mewajibkan ujian PCR ke atas semua pelancong dari China memandangkan virus itu kini merebak dengan meluas di negara jiran. - Foto EPA-EFE -

BEBERAPA negara sedang meneroka pilihan untuk mengetatkan langkah pengurusan wabak Covid-19 di sempadan masing-masing, termasuk meningkatkan pemeriksaan kesihatan dan menguji air sisa, memandangkan kebangkitan semula kes di China dan langkah negara itu untuk membuka semula sempadannya.

Di Singapura, Kementerian Kesihatan (MOH) mengumumkan minggu lalu bahawa negara ini "bersedia meningkatkan langkah kesihatan sempadan jika perlu" dan ia "sedang memerhatikan situasi Covid-19 global dengan teliti".

MOH akur adanya kebimbangan orang ramai mengenai tahap jangkitan yang tinggi di China dan pengumuman terkini negara itu untuk melonggarkan langkah sempadan mereka mulai 8 Januari.

Di Malaysia, Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa, berkata Kementerian Kesihatan (KKM) akan meningkatkan kaedah pembendungan penularan jangkitan Covid-19 dalam negara serta memperketatkan prosedur operasi standard (SOP) pemeriksaan kesihatan di mana-mana pintu masuk negara.

"Ia akan dilaksanakan jika perlu, bukan sahaja kepada pengunjung atau pengembara (warga negara Malaysia dan bukan warga negara) yang tiba dari China, bahkan yang tiba dari semua negara di dunia," katanya dalam kenyataan Jumaat lalu.

Lebih mencemaskan, varian BA.5.2 dan BF.7 Covid-19 yang sedang menular di China, dikesan sudah berada di Malaysia dengan 4,148 kes dijangkiti BA.5.2 dan tiga kes BF.7 setakat 31 Disember lalu.

Disebabkan itu, kerajaan Pulau Pinang bersedia mematuhi protokol ditetapkan KKM yang akan memperketatkan pemeriksaan di pintu masuk antarabangsa (PMA), bagi pengembara luar negara, termasuk China.

China sedang mengalami lonjakan Covid-19 yang besar selepas sekatan pembendungan ketat selama bertahun-tahun dilonggarkan bulan lalu.

Beijing mengakui skala wabak telah menjadi "mustahil" untuk dikesan berikutan berakhirnya ujian wajib besar-besaran bulan lepas.

Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan China telah berhenti menerbitkan perangkaan jangkitan dan kematian harian di seluruh negara itu.

China hanya melaporkan 15 kematian Covid-19 sejak ia memulakan sekatan pada 7 Disember lalu, sejurus selepas itu ia mengecilkan kriteria kematian akibat virus itu direkodkan.

Semakin banyak negara bimbang tentang kekurangan data dan ketelusan sekitar wabak China.

Kesatuan Eropah (EU) telah menawarkan vaksin Covid-19 percuma kepada China dalam usaha membantu Beijing menangani penularan jangkitan virus itu.

Menurut seorang pegawai EU, inisiatif itu antara usaha Pesuruhjaya Kesihatan, Cik Stella Kyriakides, mengatur tindak balas berdepan gelombang jangkitan selepas Beijing menamatkan dasar sifar Covid.

"Kyriakides sudah menghubungi rakan sejawatnya di China bagi memberikan sokongan dan solidariti, termasuk kepakaran dalam kesihatan awam serta sumbangan vaksin," katanya.

Belgium pula akan menguji air kumbahan daripada pesawat yang tiba dari China bagi mengesan varian baru Covid-19, sebahagian daripada langkah baru negara itu mengekang penularan virus itu yang dilaporkan semakin meningkat.

"Ini akan menjadi objektif pemantauan tambahan untuk mengesahkan bahawa data yang kami terima dari China adalah tepat," kata Encik Steven Van Gucht dari Institut Kesihatan Awam Kebangsaan Sciensano kepada agensi berita Reuters.

Minggu lalu, beberapa negara termasuk Amerika Syarikat, Australia dan Canada berkata mereka akan mengenakan sekatan ujian ke atas ketibaan pengunjung dari China kerana kekurangan ketelusan mengenai data jangkitan dari republik itu.

Apatah lagi pegawai kesihatan di wilayah pesisir pantai Zhejiang percaya 1 juta penduduk dijangkiti setiap hari minggu lalu.

Pegawai kesihatan di bandar Quzhou dan Zhoushan pula menganggarkan sekurang-kurangnya 30 peratus penduduk telah dijangkiti virus itu.

Bandar pantai timur Qingdao juga menganggarkan sekitar 500,000 kes harian baru dan pusat pembuatan selatan Dongguan meramalkan sehingga 300,000.

Pegawai di wilayah pulau Hainan menganggarkan bahawa kadar jangkitan di sana minggu lalu telah melepasi 50 peratus.

Pada 29 Disember lalu, pegawai kesihatan tertinggi China, Encik Wu Zunyou, berkata puncak penularan Covid-19 telah berlalu di bandar Beijing, Chengdu dan Tianjin, selain wilayah Guangdong - yang paling ramai penduduk di negara itu - dan mengulangi kenyataan sama pada Khamis lalu. - Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg