Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Beijing bidas komen Biden mahu pertahan Taiwan

Jurucakap Kementerian Luar China: Kenyataan Presiden Amerika hantar 'isyarat yang salah'
Sep 21, 2022 | 5:30 AM
TUNJUK KEKUATAN: Tentera China melancarkan peluru berpandu balistik dan mengerahkan jet pejuang semasa mengadakan latihan di sekitar Taiwan bulan lalu. - Foto AFP
TUNJUK KEKUATAN: Tentera China melancarkan peluru berpandu balistik dan mengerahkan jet pejuang semasa mengadakan latihan di sekitar Taiwan bulan lalu. - Foto AFP -

BEIJING: Beijing kelmarin membidas komen Presiden Amerika Syarikat, Encik Joe Biden, yang menyatakan bahawa tentera Amerika akan mempertahankan Taiwan sekiranya berlaku pencerobohan.

Pemimpin China juga memberi amaran kepada Washington bahawa ia tidak seharusnya memandang rendah keazaman China mempertahankan kedaulatannya, lapor The Straits Times.

Jurucakap Kementerian Luar China, Cik Mao Ning, berkata China telah membuat aduan rasmi kepada Amerika, menunjukkan bahawa komen Encik Biden menghantar "isyarat yang salah" kepada pihak pemisah di Taiwan.

China "amat tidak berpuas hati dan tegas menentang" komen Encik Biden, kata Cik Mao pada taklimat akhbar.

"Kami bersedia berusaha mencapai penyatuan semula secara aman dengan keikhlasan dan usaha terbesar kami.

"Pada masa yang sama, kami tidak akan bertolak ansur dengan sebarang kegiatan yang bertujuan memisahkan dan mempunyai pilihan untuk mengambil semua langkah yang perlu," katanya.

China memandang Taiwan sebagai wilayah pemberontak dan tidak menolak penggunaan kekerasan dalam usahanya menyatukan semula dengan pulau yang diperintah sendiri itu.

"Hanya ada satu China di dunia, Taiwan adalah sebahagian daripada China, dan pemerintah Republik Rakyat China adalah satu-satunya pemerintah China yang sah," kata Cik Mao.

Teguran China dibuat menyusuli komen Encik Biden semasa temu bual dengan program berita CBS, 60 Minutes, yang disiarkan Ahad lalu.

Ketika ditanya sama ada tentera Amerika akan mempertahankan Taiwan, Encik Biden menjawab: "Ya, jika benar terdapat serangan yang belum pernah terjadi sebelumnya."

Ditanya sama ada ini bermakna, tidak seperti dalam pencerobohan Russia ke atas Ukraine, Amerika akan menghantar pasukannya - lelaki dan wanita - untuk mempertahankan Taiwan daripada pencerobohan China, Encik Biden sekali lagi berkata "ya".

Temu bual itu menandakan kali keempat Encik Biden telah menyimpang daripada dasar "kekaburan strategik" Amerika mengenai Taiwan - merujuk kepada dasar di mana Amerika tidak menjelaskan ia akan bertindak balas menggunakan tenteranya sekiranya berlaku pencerobohan ke atas Taiwan.

Tetapi ini adalah kali pertama Encik Biden secara jelas merujuk kepada keinginan negara itu mengerahkan tentera jika Taiwan diserang.

Jurucakap Rumah Putih kemudian berkata bahawa dasar Amerika terhadap Taiwan tidak berubah.

"Presiden telah menyatakan perkara itu sebelum ini, termasuk di Tokyo awal tahun ini. Beliau juga menjelaskan bahawa dasar Taiwan kami tidak berubah. Itu tetap benar," kata jurucakap Rumah Putih.

Komen Encik Biden tiba dalam suasana tegang merentasi Selat Taiwan, selepas Speaker Amerika, Cik Nancy Pelosi, melawat Taiwan bulan lalu.

Ia mendorong China mengerahkan latihan ketenteraan yang tidak pernah berlaku sebelum ini di sekitar pulau itu, termasuk tembakan peluru berpandu balistik merentasi Taiwan.

Pakar-pakar China berkata komen berulang Presiden Amerika mengenai sama ada Amerika akan mempertahankan Taiwan boleh disifatkan sebagai usaha menghakis dasar "kekaburan strategik".

Pakar rentas selat Universiti Nanjing, Profesor Liu Xiangping, berkata komen Encik Biden adalah provokasi yang lebih serius daripada lawatan Cik Pelosi, dan mengancam menggugat kestabilan di seluruh Selat Taiwan.

"Apa yang beliau maksudkan? Adakah beliau bermaksud jika (Presiden Taiwan) Tsai Ing-wen mengisytiharkan kemerdekaan dan tanah besar menghantar tenteranya, bahawa beliau akan menyokong Taiwan?" kata Profesor Liu.

"Jika Biden tidak bertindak dengan cara yang jelas dalam isu kemerdekaan Taiwan serta isu kedaulatan China ini, dan meneruskan provokasi ini, maka keadaan di Selat Taiwan akan menjadi sangat berbahaya."

Dr Qi Dongtao, seorang felo penyelidik di Institut Asia Timur di Universiti Nasional Singapura (NUS) yang mengkaji hubungan rentas selat, pula berkata komen terkini juga boleh menunjukkan bahawa Encik Biden "memainkan peranan sebagai pemimpin yang agresif dalam isu Taiwan terhadap China" dengan harapan meraih sokongan menjelang pilihan raya pertengahan penggal di Amerika.

Tetapi beliau juga berkata bahawa ia akan mengukuhkan kepercayaan China bahawa ia perlu meningkatkan keupayaan ketenteraan supaya ia mempunyai keupayaan menawan Taiwan secara paksa jika perlu.

"Beijing jelas percaya bahawa Washington akan terus meningkatkan sokongannya untuk Taiwan, dan ini adalah sesuatu yang Beijing perlu pertimbangkan," katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg