Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Bekalan air terganggu: Johor arah ladang ternakan, kilang baja ditutup

Oct 29, 2017 | 5:52 PM
Ketua perhubungan korporat SAJ Ranhill, Encik Jamaluddin Jamal, berkata paras ammonia 2.75 bahagian per juta (ppm) yang direkodkan pada Jumaat malam tidak berkurang pada 4.30 petang Sabtu, menyebabkan tiga loji rawatan air terpaksa ditutup.
Ketua perhubungan korporat SAJ Ranhill, Encik Jamaluddin Jamal, berkata paras ammonia 2.75 bahagian per juta (ppm) yang direkodkan pada Jumaat malam tidak berkurang pada 4.30 petang Sabtu, menyebabkan tiga loji rawatan air terpaksa ditutup. - Foto THE STAR / ASIA NEWS NETWORK

GELANG PATAH: Johor telah mengarahkan sebuah ladang ternakan dan sebuah kilang yang menghasilkan baja daripada tahi yang terletak di tebing Sungai Johor di Kota Tinggi supaya ditutup, selepas mengenal pasti kedua-duanya bertanggungjawab bagi pencemaran yang mengganggu bekalan air kepada 1.8 juta orang pada Sabtu (28 Okt).

Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata langkah itu perlu kerana kedua-dua premis dikenal pasti menjadi penyebab kandungan ammonia tinggi di Sungai Johor.

Beliau berkata keputusan menutup premis itu dibuat berikutan saranan oleh lapan agensi semasa satu mesyuarat khas pada Ahad (29 Okt), lapor akhbar The Star. Dilaporkan bahawa kandungan ammonia yang tinggi dikesan di sungai itu pada Sabtu, memaksa penutupan loji rawatan air Sungai Johor, Semanggar dan Tai Hong.

Pada Julai tahun lepas, Singapura membekalkan tambahan enam juta gelen air sehari ke Malaysia selepas Badan Kawalselia Air Johor membuat "permintaan mendesak" kepada agensi air Singapura PUB berikutan penutupan sistem bekalannya di Johor Bahru akibaat pencemaran di Sungai Johor.

Jumlah tambahan air terawat itu dibekalkan oleh Loji Sungai Johor yang dikendalikan PUB.

The Star melaporkan pada masa itu bahawa kumbahan yang dilepaskan dari sebuah kilang minyak sawit dikenal pasti sebagai sumber utama kandungan ammonia tinggi di Sungai Johor, yang seterusnya menyebabkan operasi tiga loji rawatan air di Johor dihentikan, menjejaskan kira-kira 600,000 pengguna di bahagian selatan Johor.

PUB berhak mengambil 250 juta gelen air mentah setiap hari dari Sungai Johor di bawah Perjanjian Air 1962 dengan Malaysia, yang akan tamat pada 2061.

Sebagai pertukaran, Singapura diwajibkan menjual lima juta gelen air terawat kepada Johor setiap hari. Bagaimanapun, PUB kerap menyediakan Johor hingga 16 juta gelen air setiap hari.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg