Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Bekalan vaksin Pfizer ke lapan negara Eropah ditangguh

Dec 29, 2020 | 5:30 AM
TERIMA SUNTIKAN: Pekerja kesihatan berbual dengan Cik Mauricette, seorang wanita Perancis berusia 78 tahun, setelah beliau menerima dos pertama vaksin Pfizer-BioNTech (COVID-19) di hospital Rene-Muret di Sevran, di pinggiran Paris, Perancis. - Foto REUTERS
TERIMA SUNTIKAN: Pekerja kesihatan berbual dengan Cik Mauricette, seorang wanita Perancis berusia 78 tahun, setelah beliau menerima dos pertama vaksin Pfizer-BioNTech (COVID-19) di hospital Rene-Muret di Sevran, di pinggiran Paris, Perancis. - Foto REUTERS -

MADRID: Pfizer telah menangguh penghantaran bekalan baru vaksin koronavirus kepada lapan negara Eropah, termasuk Sepanyol, kata kementerian kesihatan negara itu semalam, sehari selepas Kesatuan Eropah (EU) memulakan kempen vaksinasi.

Cawangan Pfizer di Sepanyol memberitahu Madrid kelmarin bekalan bagi lapan negara itu tergendala disebabkan 'masalah dalam proses pemunggahan dan pengangkutan' di kilangnya di Belgium, kata kementerian kesihatan Sepanyol dalam satu kenyataan.

Ia tidak menyatakan negara-negara lain yang terjejas.

Pfizer telah memberitahu kementerian itu bahawa masalah tersebut telah pun dihuraikan, tetapi vaksin hanya dapat dihantar 'beberapa jam lewat' dan hanya tiba di Sepanyol lewat malam ini, lewat sehari daripada yang dijangka.

Mengulas mengenai perkara itu di radio Ser, Menteri Kesihatan Salvador Illa berkata ia berhubung kawalan suhu bagi bekalan tersebut yang kini telah diperbaiki.

Vaksin Covid-19 yang dihasilkan Pfizer itu perlu disimpan pada suhu amat rendah sekitar -70 darjah Celsius sebelum dihantar ke pusat pengedaran khas dalam kotak-kotak sejuk khas yang diisi ais kering.

Selepas dikeluarkan dari simpanan suhu amat rendah, vaksin perlu disimpan pada suhu antara 2 darhaj Celsius dengan 8 darjah Celsius supaya kekal berkesan bagi tempoh sehingga lima hari.

Sepanyol dijadual menerima 350,000 dos vaksin koronavirus Pfizer-BioNTech setiap minggu bagi tempoh tiga bulan akan datang.

Kebanyakan negara di EU memulakan kempen vaksinasi menentang Covid-19 hujung minggu lalu menggunakan vaksin Pfizer-BioNTech itu.

Kempen itu bertujuan memvaksinasi lebih 450 juta orang di benua tersebut.

Pekerja jagaan kesihatan, warga tua dan tokoh politik antara golongan pertama yang mendapatkan vaksinasi.

Meskipun kebanyakan negara di EU telah mengenakan sekatan pergerakan, mengehadkan kegiatan sosial dan menutup restoran dan perniagaan lain, bilangan jangkitan di sana telah melonjak dan berlarutan sehingga musim sejuk.

Penularan varian Covid-19 yang disyaki lebih mudah berjangkit di Britain juga telah menyebabkan negara-negara di EU menutup sempadan dengan Britain.

Dalam pada itu, sebuah rumah jagaan orang tua di Jerman dan beberapa tempat lain di Hungary dan Slovakia telah memulakan proses vaksinasi sebelum ia dilancarkan secara rasmi di negara-negar itu.

Ia berbuat demikian beberapa jam selepas bekalan vaksin diterimanya.

Lebih 350,000 orang telah terkorban di27 negara yang membentuk EU sejak kematian pertama dirakamkan di Perancis pada 15 Februari lalu.

Meskipun keadaan masih muram, permulaan kempen vaksinasi itu telah diraikan oleh kededua rakyat dan pemimpin EU.

Presiden Suruhanjaya Eropah Ursula von der Leyen berkata kempen itu membuka lembaran baru dalam tahun yang sukar. - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg