Bekas angkasawan, senator AS John Glenn meninggal dunia

WASHINGTON: John Glenn, warga Amerika pertama mengelilingi Bumi dan angkasawan tertua di dunia, di samping kerjaya panjang sebagai senator Amerika Syarikat, meninggal dunia pada Khamis (8 Dis) pada usia 95 tahun.

Beliau anggota terakhir kumpulan asal tujuh orang angkasawan Utarid 'Right Stuff' yang meninggal dunia

"John Glenn ialah, dan akan sentiasa menjadi, hero kampung paling hebat Ohio, dan pemergian beliau hari ini peristiwa sedih bagi kita semua," kata Gabenor Ohio, Encik John Kasich, dalam satu kenyataan.

Mendiang meninggal dunia di Hospital Barah James di Universiti Negeri Ohio, kata Encik Hank Wilson, jurucakap Kolej Ehwal Awam John Glenn di universiti itu.

Beliau membantu mengasaskan kolej tersebut.

Mendiang diiktiraf sebagai orang yang memulihkan semula kebanggaan Amerika selepas penguasaan awal Soviet Union dalam penerokaan angkasa lepas yang dipandu manusia.

Beliau mengelilingi Bumi sebanyak tiga pusingan dalam kapsul angkasa lepas Friendship 7 pada 20 Feb 1962, sekali gus menjalin rangkaian kuat dengan usaha era Kennedy meneroka angkasa lepas sebagai 'Sempada Baru'.

Presiden Barack Obama berkata "dengan pemergian John, negara kita kehilangan sebuah ikon".

"Apabila John Glenn berjaya dilancar dari Cape Canaveral di atas roket Atlas pada 1962, beliau mengangkat harapan negara," kata Encik Obama dalam satu kenyataan.

"Dan apabila kapal angkasa Friendship 7 beliau turun ke bumi beberapa jam kemudian, rakyat Amerika pertama yang mengorbit Bumi mengingatkan kita bahawa dengan keberanian dan semangat meneroka tiada batas bagi tahap yang kita boleh capai bersama."

Bakap presiden Donald Trump dalam satu tweet berkata Amerika hilang "perintis besar bidang udara dan angkasa lepas. Beliau seorang wira dan menjadi inspirasi kepada banyak generasi peneroka masa depan."

Kerjaya angkasawan mendiang, dan juga rekodnya sebagai juruterbang pejuang dalam Perang Dunia II dan Perang Korea, membantu mengangkat beliau ke Senat Amerika pada 1974, di mana beliau mewakili negeri kelahirannya Ohio selama 24 tahun sebagai seorang Demokrat sederhana. - Reuters

Waktu Solat

Subuh
5:38
Syuruk
7:02
Zuhur
1:09
Asar
4:34
Maghrib
7:13
Isyak
8:29
3 HR PSI: 59
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.