Bekas ketua risikan Sri Lanka ditahan terkait serangan Easter 2019
Bekas ketua risikan Sri Lanka ditahan terkait serangan Easter 2019
COLOMBO: Penyiasat jenayah Sri Lanka menahan bekas ketua perisikan negara itu pada awal pagi 25 Februari dalam perkembangan paling besar setakat ini dalam siasatan panjang terhadap pengeboman hari Easter 2019 yang mengorbankan 279 orang, termasuk 45 warga asing.
Polis mengesahkan Mejar Jeneral (B) Suresh Sallay diberkas di sebuah kawasan pinggir ibu kota Colombo atas dakwaan berkonspirasi serta membantu melaksanakan serangan tersebut.
Seorang pegawai penyiasat berkata penahanan itu dibuat selepas pihak berkuasa memperoleh bukti hubungan berterusan antara suspek dan individu yang terbabit dalam serangan.
“Beliau ditahan kerana konspirasi serta bersubahat dalam serangan Easter. Siasatan mendapati beliau masih berhubung dengan pihak yang terlibat, termasuk pada tempoh kebelakangan ini,” katanya.
Serangan bunuh diri pada 21 April 2019 menyasarkan tiga hotel mewah di Colombo, dua gereja Katolik Roman serta sebuah gereja Protestan evangelikal di luar bandar raya itu.
Letupan serentak tersebut merupakan serangan paling dahsyat terhadap orang awam di negara itu sejak perang pemisah Tamil berakhir pada 2009 selepas hampir empat dekad keganasan yang meragut sekurang kurangnya 100,000 nyawa.
Lebih 500 orang turut cedera dan industri pelancongan Sri Lanka lumpuh teruk selepas kejadian.
Pihak berkuasa ketika itu menyalahkan kumpulan jihad tempatan, manakala kumpulan militan ISIS mengaku bertanggungjawab dua hari kemudian. Namun penyiasat berkata mereka tidak menemukan bukti kukuh mengaitkan rangkaian asing secara langsung.
Gereja Katolik Sri Lanka yang selama ini mengetuai kempen menuntut keadilan menyambut baik penahanan tersebut dan menyifatkannya sebagai langkah penting ke arah kebenaran.
“Kami mahukan kebenaran di sebalik serangan Easter. Keadilan mesti diberikan kepada semua mangsa,” kata jurucakap gereja, Father Cyril Gamini Fernando.
Sebelum ini gereja menuduh pemerintah gagal mengenal pasti dalang sebenar serangan.
Penahanan Sallay berlaku hanya beberapa minggu sebelum ulang tahun ketujuh tragedi itu.
Sallay pernah dilantik sebagai ketua Perkhidmatan Perisikan Negara pada 2019 selepas Encik Gotabaya Rajapaksa menjadi presiden. Beliau sebelum ini menafikan penglibatan dalam serangan bunuh diri tersebut.
Laporan penyiar Britain Channel 4 pada 2023 mendakwa beliau mempunyai hubungan dengan pengebom dan pernah bertemu mereka sebelum serangan berlaku.
Seorang pemberi maklumat mendakwa serangan itu dibenarkan berlaku bagi mempengaruhi pilihan raya presiden tahun sama yang memihak kepada Encik Rajapaksa.
Dua hari selepas tragedi, Encik Rajapaksa mengumumkan pencalonannya dan menang besar pada pilihan raya November dengan janji membanteras ekstremisme Islam.
Seorang bekas anggota kumpulan militan juga pernah memberitahu wartawan pada 2019 bahawa kumpulan mereka pada asalnya menerima pembiayaan daripada unit perisikan tentera untuk menyebarkan ideologi fundamentalis di wilayah timur Sri Lanka yang berbilang etnik.
Pemerintah ketika itu mengakui tentera mempunyai kaitan dengan kumpulan radikal berkenaan, manakala Sallay pernah bertugas dalam unit tersebut.
Beliau kemudian digugurkan daripada jawatan selepas Presiden Anura Kumara Dissanayake memenangi pilihan raya 2024 dengan janji membawa dalang serangan ke muka pengadilan.
Beberapa siasatan terdahulu mendapati pihak berkuasa gagal bertindak terhadap amaran agensi perisikan India mengenai kemungkinan serangan.
Mahkamah Agung Sri Lanka turut mengenakan denda lebih AS$1.03 juta (S$1.3 juta) terhadap presiden ketika itu, Encik Maithripala Sirisena dan empat pegawai kanan kerana kegagalan menghalang tragedi.
Di peringkat antarabangsa, pihak berkuasa Amerika Syarikat pada 2021 mendakwa tiga warga Sri Lanka membantu serangan yang turut mengorbankan lima rakyat Amerika. Mereka antara 25 suspek yang didakwa di Mahkamah Tinggi Sri Lanka.
Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu pula menggesa pemerintah menyiarkan sebahagian laporan siasatan terdahulu yang masih dirahsiakan kepada umum.
Penahanan Sallay dilihat sebagai ujian utama komitmen pemerintah baharu untuk merungkai sepenuhnya misteri di sebalik salah satu tragedi paling berdarah dalam sejarah moden Sri Lanka. - Agensi berita

