BANGKOK: Sekurang-kurangnya 35 orang terbunuh semalam dalam satu kejadian tembakan mengejutkan di pusat jagaan kanak-kanak di wilayah timur laut Thailand, kata jurucakap polis.
Mangsa termasuk orang dewasa dan sekurang-kurangnya 22 kanak-kanak, kata polis tempatan, sambil menambah bahawa lelaki bersenjata itu adalah bekas pegawai polis.
Jurucakap polis negara, Encik Achayon Kraithong, berkata kejadian itu berlaku di wilayah Nong Bua Lam Phu.
Kolonel polis Jakkapat Vijitraithaya dari wilayah itu berkata lelaki bersenjata itu kemudian pulang ke rumah dan membunuh isteri dan anaknya serta membunuh dirinya sendiri selepas melakukan serangan di pusat jagaan kanak-kanak itu.
Sekurang-kurangnya 12 orang yang lain cedera.
Kadar pemilikan senjata api di Thailand adalah tinggi berbanding beberapa negara lain di rantau ini namun angka rasmi tidak termasuk sejumlah besar senjata terlarang, kebanyakannya dibawa masuk merentasi sempadan dari negara-negara jiran yang berlaku kekecohan.
Kes tembakan melibatkan ramai mangsa jarang berlaku di Thailand tetapi pada 2020, seorang askar yang marah berkaitan satu perjanjian hartanah telah menembak mati sekurang-kurangnya 29 orang dan mencederakan 57 lain di empat tempat berlainan. - Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg