WASHINGTON: Juri persekutuan semalam memutuskan bekas pembantu Donald Trump, Steve Bannon, bersalah menghina Kongres kerana mengingkari sepina untuk memberi keterangan di hadapan penggubal undang-undang yang menyiasat serangan ke atas Capitol Amerika Syarikat (AS).
Bannon, yang mengetuai kempen pilihan raya presiden Trump pada 2016, adalah antara ratusan orang yang dipanggil jawatankuasa Dewan Perwakilan untuk menangani serbuan ke atas Kongres oleh penyokong Encik Trump pada 6 Januari 2021.
Ahli strategi Republikan berusia 68 tahun itu tidak hadir pada tarikh saman atau memberi dokumen yang diminta, dan didakwa atas dua pertuduhan menghina Kongres.
Juri 12 orang berbincang kurang tiga jam sebelum mendapati Bannon bersalah atas kedua-dua pertuduhan salah laku.
Bannon, yang berkhidmat sebagai ketua strategi Encik Trump di Rumah Putih sebelum dipecat pada 2017, berdepan sekurang-kurangnya penjara 30 hari dan hukuman maksimum setahun bagi setiap pertuduhan.
Bercakap kepada pemberita selepas keputusan itu, Bannon berkata: "Kami mungkin kalah dalam pertempuran di sini hari ini tetapi kami tidak akan kalah dalam perang ini. Saya berdiri bersama Trump dan Perlembagaan."
Encik Bennie Thompson dan Cik Liz Cheney, pengerusi dan naib pengerusi jawatankuasa Dewan, mengalu-alukan keputusan itu, dengan mengatakan "tidak ada sesiapa yang berada di atas undang-undang."
"Sabitan terhadap Steve Bannon adalah kemenangan untuk kedaulatan undang-undang dan penegasan penting terhadap kerja Jawatankuasa Pilihan," kata mereka dalam satu kenyataan.
"Sama seperti mesti ada akauntabiliti untuk semua mereka yang bertanggungjawab atas peristiwa 6 Januari, sesiapa yang menghalang siasatan kami terhadap perkara ini harus menghadapi akibatnya."
Membentangkan kes pemerintah, pendakwa Cik Amanda Vaughn memberitahu juri bahawa Bannon "sengaja" tidak patuhi sepina.
Peguam Bannon, Encik Evan Corcoran, menafikan anak guamnya tidak mengendahkan sepina tersebut sambil berkata tarikh itu adalah "subjek perbincangan dan rundingan berterusan" dan "fleksibel."
Keputusan menghina Bannon adalah bermotifkan politik, katanya.
Cik Vaughn berkata jawatankuasa Dewan mempunyai sebab mempercayai Bannon dan penasihat Trump lain mungkin mempunyai maklumat mengenai hubungan antara Rumah Putih dan perusuh Capitol.
Menurut jawatankuasa itu, Bannon bercakap dengan Trump sehari sebelum beribu-ribu penyokongnya menyerbu Kongres dalam usaha menyekat pensijilan kemenangan pilihan raya Demokrat, Presiden Joe Biden.
Mereka difitnah Encik Trump dalam ucapan berapi-api berhampiran Rumah Putih, di mana beliau mengulangi dakwaan palsunya mengenai penipuan pilihan raya. - AFP


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg