Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Bekas penyelam tentera maut semasa bantu usaha menyelamat dalam gua di Thailand

Jul 6, 2018 | 12:42 PM
OPERASI MENYELAMAT: Sepasukan penyelam Seal Tentera Laut Thailand sedang memeriksa gua Tham Luang yang dipenuhi air semasa operasi menyelamatkan anggota pasukan bola sepak dan jurulatih mereka yang terperangkap, pada 29 Jun lalu.
OPERASI MENYELAMAT: Sepasukan penyelam Seal Tentera Laut Thailand sedang memeriksa gua Tham Luang yang dipenuhi air semasa operasi menyelamatkan anggota pasukan bola sepak dan jurulatih mereka yang terperangkap, pada 29 Jun lalu. - Foto AFP

MAE SAI: Seorang bekas penyelam tentera meninggal dunia akibat kehabisan oksigen semasa membantu dalam usaha menyelamat 12 budak lelaki dan jurulatih bola sepak mereka yang terperangkap dalam sebuah gua di Thailand, kata seorang pegawai kerajaan hari ini (6 Julai).

Kematiannya menunjukkan betapa bahayanya operasi menyelamat itu untuk membawa pasukan bola sepak tersebut keluar dari gua yang dipenuhi air itu.

Timbalan Gabenor Chiang Rai Passakorn Boonyaluck memberitahu media bahawa bekas penyelam tentera itu yang telah menawarkan untuk membantu secara sukarela meninggal dunia sekitar 2 pagi tadi.

Penyelam yang dikenali sebagai Saman Kunan, 38 tahun, itu sedang dalam perjalanan ke luar gua itu selepas menghantarkan tangki udara kepada sekumpulan individu yang terperangkap itu.

Usaha untuk cuba menyedarkan semula penyelam itu gagal dan beliau disahkan meninggal dunia sekitar 1 pagi tadi (waktu tempatan), kata Komander Seal Tentera Laut Thailand, Laksamana Muda Arpakorn Yookongkaew.

"Walaupun kami kehilangan seorang anggota, kami akan terus menjalankan kerja kami," katanya.

Sekitar 110 penyelam Seal Tentera Laut Thailand menyertai usaha menyelamat dalam gua itu, bersama penyelam lain dari Thailand, Amerika Syarikat, Britain, China, Australia dan negara lain.

Menerusi laman Facebook beliau semalam (5 Julai), Perdana Menteri Singapura, Encik Lee Hsien Loong turut berkata beliau telah menulis kepada Perdana Menteri Thailand, Encik Prayut Chan-o-cha, untuk menawarkan bantuan Singapura. -AFP

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg