JAKARTA: Belanda bersetuju memulangkan hampir 300 artifak Indonesia yang diambil secara paksa dan dibawa ke Eropah semasa penjajahan Belanda.
Perjanjian pemulangan artifak itu adalah langkah penting dalam usaha Indonesia mendapatkan semula harta budayanya yang diambil semasa penjajahan Belanda dari awal abad ke-17 hingga pertengahan abad ke-20.
Menteri Pendidikan, Kebudayaan dan Sains Belanda, Encik Eppo Bruins, berkata keputusan mengembalikan artifak itu sebahagian daripada usaha memperbaiki ketidakadilan yang berlaku pada masa lalu.
Perjanjian memulangkan 288 objek budaya itu dimeterai pada satu pertemuan antara Encik Bruins dan Ketua Pengarah Kebudayaan Indonesia, Encik Hilmar Farid, di Wereldmuseum, Amsterdam, lapor The Jakarta Post.
Pertemuan tersebut turut dihadiri ahli jawatankuasa pemulangan artifak Indonesia, yang dibentuk oleh Menteri Pendidikan, Kebudayaan, Penyelidikan dan Teknologi Indonesia, Encik Nadiem Makarim, pada 2021.
Dalam satu kenyataan rasminya, Encik Bruins berkata:
“Semasa penjajahan, objek budaya sering dirampas atau dipindahkan secara tidak rela melalui cara yang melanggar hak pemilik asal. Pemulangan objek-objek ini adalah penting sebagai langkah pembetulan kesilapan masa lalu.”
Keputusan itu dibuat berdasarkan saranan Jawatankuasa Koleksi Kolonial Belanda yang diketuai oleh Cik Lilian Gonçalves-Ho Kang You, seorang peguam dan aktivis hak asasi manusia dari Surinam.
Antara artifak yang dipulangkan ialah empat arca dewa-dewi Hindu-Buddha iaitu Bhairava, Nandi, Ganesha dan Brahma, yang berasal dari Kerajaan Singosari di Jawa Timur pada abad ke-13.
Arca-arca itu dibawa ke Belanda pada separuh pertama abad ke-19.
Pelbagai objek lain, seperti senjata, duit syiling, perhiasan, dan tekstil dari Bali, khususnya dari kawasan Tabanan dan Badung, juga akan dipulangkan.
Objek-objek itu dipercayai dirampas selepas peristiwa Puputan Badung, satu pertempuran antara pejuang Bali dengan tentera kolonial Belanda pada 20 September 1906.
Puputan Badung adalah pertempuran berdarah apabila Raja Badung, I Gusti Ngurah Made Agung, bersama tenteranya berjuang hingga ke titisan darah terakhir untuk mempertahankan maruah kerajaannya daripada ditakluk Belanda.
Upacara memperingati pertempuran itu – lambang keberanian raja dan rakyat Bali yang sanggup mengorbankan nyawa demi tanah air – diadakan setiap tahun.
Proses pemulangan itu adalah hasil kajian mendalam oleh jawatankuasa Indonesia yang menilai setiap objek, meneliti asal usul setiap objek serta memastikan apakah objek tersebut diambil secara paksa atau melalui keganasan semasa zaman penjajahan Belanda.
Proses itu amat penting dalam memastikan artifak yang dipulangkan mempunyai kaitan langsung dengan sejarah dan budaya Indonesia, ujar Setiausaha Jawatankuasa Pemulangan Artifak Indonesia, Encik Bonnie Triyana.
Antara artifak lain yang telah dipulangkan oleh Belanda sebelum ini termasuk keris berlapis emas milik Putera Diponegoro, yang merupakan simbol perjuangan menentang penjajahan Belanda pada abad ke-19.
Keris itu dipulangkan pada 2020 sebelum lawatan rasmi Raja Belanda, Raja Willem-Alexander, ke Indonesia.
Langkah Belanda itu sebahagian daripada gerakan sejagat.
Kuasa penjajah Eropah, termasuk Perancis dan Belgium, mula mengakui mereka tidak mempunyai hak moral atau undang-undang untuk menyimpan objek budaya yang diambil secara paksa dari bekas tanah jajahan mereka.
Namun, proses pemulangan artifak itu tidak mudah. Ia memerlukan bukti arkib yang sahih untuk mengesahkan asal usul setiap objek, satu tugas yang sering mencabar dan memerlukan masa.
Contohnya, objek budaya seperti rangka ‘Java Man’, fosil Homo erectus pertama yang ditemui di Pulau Jawa pada awal 1890-an, masih disimpan di Belanda dan belum dipulangkan.
Fosil tersebut, yang ditemui oleh pakar anatomi dan geologi Belanda, Encik Eugene Dubois, kini sebahagian daripada koleksi utama di Pusat Biodiversiti Semula Jadi di Leiden.
Walaupun perbincangan “membina” telah diadakan antara pihak berkuasa Indonesia dengan Belanda mengenai pemulangan fosil tersebut, ia belum termasuk dalam senarai objek yang akan dipulangkan pada masa ini.
Walaupun pemulangan artifak itu dilihat sebagai satu langkah positif, terdapat kritikan terhadap bagaimana negara asal akan menyimpan dan memulihara objek yang dipulangkan.
Pengarah Besar Muzium Kebudayaan Dunia di Belanda, Cik Marieke van Bommel, bagaimanapun, menegaskan negara bekas penjajah tidak mempunyai hak untuk menentukan apa yang perlu dilakukan oleh pemilik sah berhubung harta mereka.
Baginya, pemulangan artifak adalah satu langkah bermoral yang patut diambil tanpa mempersoalkan kebolehan negara pemilik menjaga artifak tersebut.
Cik Van Bommel juga berkata perbincangan antara muzium Belanda dengan Indonesia mengenai pemulangan artifak telah berlangsung lebih 10 tahun, jauh sebelum ia menjadi dasar kerajaannya.
Ini menunjukkan betapa pentingnya kerjasama antara institusi budaya dalam memastikan objek budaya yang dirampas dapat dipulangkan ke negara asal. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg