Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Belanja secara rahmah jadi pilihan mangsa terjejas banjir sambut Syawal di M'sia

Apr 21, 2023 | 3:50 PM
HARGA RAHMAH: Orang ramai mendapatkan barangan pada harga Rahmah semasa tinjauan di sebuah pasaraya di Jabi
HARGA RAHMAH: Orang ramai mendapatkan barangan pada harga Rahmah semasa tinjauan di sebuah pasaraya di Jabi - BERNAMA

BATU PAHAT, 21 April April (Bernama) -- Belanja secara 'rahmah' atau berjimat cermat menjadi pilihan hampir segelintir besar penduduk daerah ini, apatah lagi selepas terkesan teruk akibat banjir besar, bulan lepas.

Melalui tinjauan yang dilakukan Bernama mendapati ramai penduduk menyatakan mereka kali ini mahu menyambut lebaran berkenaan dengan meriah tetapi perlu berbelanja secara 'Rahmah' atau berhemah.

Bagi Mohd Ariff Ab Razak, 37, dia sekeluarga membuat pembelian secara berjimat cermat untuk pakaian raya, sekadar sepasang berbanding dua atau tiga pasang sebelum ini.

Katanya, ini memandangkan sebahagian pendapatannya turut digunakan untuk membeli barangan lain yang telah rosak akibat banjir.

"Tahun ini kami sekeluarga perlu mendahulukan keperluan dengan membeli katil, perabot dan beberapa peralatan rumah yang lain serta menjadikan pakaian untuk hari raya bukan keutamaan tapi jatuh nombor dua," katanya ketika ditemui Bernama di Ekspo Ramadan Dewan Jubli Intan Batu Pahat, baru-baru ini.

Jelas Mohd Ariff lagi, berkaitan juadah di Aidilfitri, dia bersama keluarga seperti biasa memasak ketupat, rendang dan kuah lodeh, namun mengehadkan pembelian kuih raya.

Sementara itu, Nursamimi Isnin, 24, berkata kebanyakan persiapan hari raya tahun ini dibelinya secara dalam talian kerana mempunyai harga yang lebih murah berbanding dengan membeli di pasar raya atau di kedai-kedai mahupun di tapak jualan ekspo Ramadan.

"Tahun ini saya hanya membeli baju sahaja di ekspo Ramadan, itu pun kerana bimbang saiz pakaian berkenaan terlalu besar atau sempit, yang lain saya beli dalam talian.

"Apa yang penting raya tahun ini bukannya untuk bermewah-mewah tetapi lebih menunjukkan rasa kesyukuran setelah kita berjaya menunaikan kewajipan di bulan Ramadan," katanya.

Dalam pada itu, bagi peniaga Mohd Nahar Abdullah, 48, inilah kali pertama sepanjang 18 tahun dia berniaga pakaian raya di ekspo Ramadan jualan agak merosot dan kurang memberangsangkan.

"Semasa selepas COVID-19 (Perintah Kawalan Pergerakan - PKP) dulu pun tak teruk macam ni, mungkin masing-masing nak berjimat...suasana di ekspo Ramadan memang penuh, memang ramai tapi kuasa membeli kurang, mungkin masing-masing nakkan suasana raya sahaja," katanya. - BERNAMA

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg