GAZA: Kira-kira 360,000 kes penyakit berjangkit telah dikesan di tempat perlindungan yang menempatkan 1.9 juta warga Palestin, yang dipindahkan akibat serangan berterusan tentera Israel.
Sekitar 91 peratus daripada kira-kira 2.3 juta penduduk di Gaza kini berdepan krisis kebuluran manakala 63 peratus terpaksa berlapar sepanjang hari.
Krisis tersebut semakin meruncing di seluruh wilayah terkepung itu setelah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran ketika unit kereta kebal dan jet pejuang Israel melancarkan serangan baru ke atas penduduk Palestin di selatan Gaza.
Aliran bantuan di sana terhenti akibat kempen pengeboman yang ganas dan berlarutan selama lebih dua bulan.
Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan PBB, Cik Lynn Hastings, dalam laporan situasi terbarunya menyatakan bahawa Gaza kini menghadapi bencana kesihatan awam.
“Kita semua tahu bahawa sistem penjagaan kesihatan sedang atau sudah runtuh,” katanya dalam sidang media maya pada 13 Disember.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) turut memberi amaran penyakit berjangkit kini menular dengan cepat ke seluruh Gaza, sekali gus mewujudkan masalah tambahan terhadap sistem kesihatan yang sudah lumpuh.
Wakil WHO di Palestin, Encik Richard Peeperkorn, berkata kes impetigo (sejenis penyakit kulit yang mudah berjangkit) meningitis dan sakit kuning telah direkodkan selain cacar air serta jangkitan saluran pernafasan atas.
Beliau menekankan bahawa tentera Israel yang melakukan pendudukan perlu bertanggungjawab untuk melindungi penduduk awam Palestin, termasuk menyediakan keperluan asas dan memastikan akses bantuan kemanusiaan yang tidak terhalang.
“Apa yang berlaku tidak akan membawa keamanan dan keselamatan kepada rakyat Palestin atau Israel dalam jangka panjang,” katanya, sambil menambah bahawa gencatan senjata adalah satu-satunya ‘jalan ke hadapan’.
Kementerian Kesihatan Gaza turut melaporkan bahawa mereka kehabisan vaksin kanak-kanak, situasi yang boleh membawa kepada kesan buruk terhadap kesihatan kanak-kanak dan meningkatkan penularan penyakit.
Di selatan Rafah, pegawai kesihatan melaporkan 22 orang, termasuk kanak-kanak, terbunuh dalam serangan udara Israel yang menyasar kediaman.
Pekerja kecemasan awam sedang berusaha mencari lebih ramai mangsa di bawah timbunan runtuhan.
Penduduk dan agensi bantuan melaporkan bahawa tiada lagi tempat yang selamat di wilayah tersebut, di mana pengeboman menyebabkan sebahagian besar penduduk kehilangan tempat tinggal dan hampir semua kawasan terputus sepenuhnya daripada bekalan makanan, ubat-ubatan dan bahan api.
Kebuluran semakin teruk di Gaza, dengan Program Makanan Dunia PBB melaporkan bahawa separuh daripada penduduk kelaparan.
Pejabat PBB bagi Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) menyatakan pengagihan bantuan hanya berlaku di daerah Rafah, tetapi di seluruh Gaza, pengagihan bantuan sebahagian besarnya dihentikan sejak beberapa hari lalu akibat pertempuran dan sekatan pergerakan di sepanjang jalan utama. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg