WASHINGTON: Pentadbiran Presiden Amerika Syarikat, Encik Joe Biden, telah membentuk satu kumpulan kerja pakar bersama Canada, Mexico, Kesatuan Eropah (EU) dan Britain untuk menentukan cara terbaik memulakan semula perjalanan secara selamat, selepas 15 bulan sekatan pandemik Covid-19 dijalankan, kata seorang pegawai Rumah Putih kelmarin.
Namun, seorang pegawai Amerika lain berkata pentadbiran Biden tidak akan bergerak terlalu pantas untuk menarik balik sekatan berkaitan penduduk serata dunia memasuki Amerika, kerana kumpulan kerja itu memerlukan masa untuk melakukan tugas mereka.
Rumah Putih telah memaklumkan syarikat penerbangan dan pemain lain dalam industri pelancongan mengenai kumpulan kerja tersebut, kata pegawai itu.
"Sedang kami tidak membuka semula perjalanan pada hari ini, kami berharap kumpulan kerja ini dapat membantu kami menggunakan kepakaran kolektif untuk memetakan jalan ke hadapan, dengan tujuan membuka semula perjalanan antarabangsa dengan rakan kongsi kami apabila ditentukan bahawa adalah selamat untuk melakukan itu," kata pegawai Rumah Putih itu.
Beliau menambah bahawa "setiap keputusan akan dipandu sepenuhnya oleh analisis objektif dan cadangan oleh pakar kesihatan awam dan perubatan".
Kumpulan kerja itu diketuai Pasukan Respons Covid-19 Rumah Putih dan Majlis Keselamatan Negara serta merangkumi Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) dan agensi lain Amerika.
Kelmarin, CDC mengatakan ia telah melonggarkan sekatan perjalanan ke atas 110 negara dan wilayah, termasuk Canada, Mexico, Jepun, Afrika Selatan dan Iran, tetapi menolak untuk menarik balik sebarang sekatan perjalanan Covid-19.
Pengarah CDC Rochelle Walensky mengatakan sekatan perjalanan Amerika yang berkuat kuasa sejak 2020 tertakluk kepada "perbincangan antara agensi, dan kami melihat data dalam masa nyata mengenai bagaimana kami harus meneruskannya".
Pentadbiran Biden menghadapi tekanan daripada beberapa penggubal undang-undang yang mengatakan masyarakat Amerika di sepanjang sempadan Canada menghadapi kesulitan ekonomi kerana sekatan sempadan darat.
Syarikat penerbangan dan perniagaan lain juga menggesa pentadbiran Biden menarik balik sekatan yang menghalang kebanyakan warga bukan Amerika yang pernah berada di Britain, 26 negara tanpa kawalan sempadan di Eropah, Ireland, China, India, Afrika Selatan, Iran dan Brazil melakukan perjalanan ke Amerika.
Washington juga melarang kebanyakan perjalanan tidak penting di sempadan darat dengan Mexico dan Canada.
Pertubuhan Syarikat Penerbangan bagi Amerika, sebuah kumpulan perdagangan yang mewakili syarikat penerbangan American Airlines, Delta Air Lines, Southwest Airlines dan lainnya, memuji kumpulan kerja itu, namun percaya "kumpulan kerja ini harus bertindak pantas untuk menyokong dasar yang disokong sains, yang akan membolehkan pelancong yang diberi vaksin sepenuhnya melancong ke Amerika".
" Pantas adalah kunci - kami yakin ada penjelasan sains di sana," katanya.
Sementara itu, ketua semua syarikat penerbangan yang membawa penumpang antara Britain dan Amerika Isnin lalu meminta kedua-dua negara menarik balik larangan perjalanan rentas Atlantik.
Presiden Joe Biden dan Perdana Menteri Britain, Encik Boris Johnson, dijadual bertemu pada satu mesyuarat G-7 bagi negara ekonomi maju minggu ini di Cornwall, England. - Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg