Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Sydney masih dalam bahaya

Dilanda kemunculan kelompok jangkitan pandemik kedua, larangan keluar masuk dari ibu kota NSW dilanjutkan hingga Rabu
Dec 31, 2020 | 5:30 AM
KAWASAN BERBAHAYA: Seorang lelaki berjalan sendirian dalam kawasan yang lazimnya penuh sesak di pusat bandar Sydney semalam. Sydney kini bergelut dengan kemunculan kelompok jangkitan kedua hingga kedatangan warga dari bandar itu ke Wilayah Persekutuan Australia (ACT) dipantau rapi. - Foto REUTERS
KAWASAN BERBAHAYA: Seorang lelaki berjalan sendirian dalam kawasan yang lazimnya penuh sesak di pusat bandar Sydney semalam. Sydney kini bergelut dengan kemunculan kelompok jangkitan kedua hingga kedatangan warga dari bandar itu ke Wilayah Persekutuan Australia (ACT) dipantau rapi. - Foto REUTERS -

AUSTRALIA: Wilayah Persekutuan Australia (ACT) kini melanjutkan larangan perjalanan keluar masuk dari Sydney hingga Rabu depan.

Menurut laporan agensi berita semalam, Sydney, yang juga ibu kota wilayah New South Wales dan antara bandar besar Australia, kini menghadapi kemunculan kelompok jangkitan Covid-19 kedua.

ACT dan Sydney sama-sama berada di wilayah New South Wales, Australia Tenggara.

ACT merupakan lokasi ibu kota Australia, Canberra.

Canberra menempatkan institusi penting seperti Parlimen dan Mahkamah Tinggi Australia.

Penduduk Canberra yang datang dari Sydney perlu menjalani tempoh kuarantin selama 14 hari sejurus ketibaan di ACT.

Ketua Pegawai Kesihatan ACT, Dr Kerryn Coleman, berkata pihak berkuasa akan menilai semula keadaan pada 5 Januari.

Pengumuman lanjutan tersebut diadakan setelah pemimpin New South Wales Gladys Berejiklian semalam berkata sebanyak 18 kes Covid-19 tempatan dilaporkan berlaku dalam tempoh semalaman.

Sembilan daripada 18 kes tersebut datang dari daerah Northern Beaches di Sydney.

Menurut Cik Berejiklian, kelompok baru yang dilaporkan di Croydon, yakni kawasan luar bandar Sydney, melibatkan enam kes jangkitan dalam sebuah keluarga.

Dengan demikian, Dr Coleman berkata beliau memutuskan melanjutkan larangan perjalanan berdasarkan fakta bahawa kes Covid-19 yang tidak boleh dijejaki masih wujud di New South Wales.

ACT tidak mencatat sebarang kes baru sepanjang 24 jam lalu namun Dr Coleman berkata risikonya kekal tinggi.

"Malangnya kami terus menyaksikan lokasi pendedahan baru muncul dan penyebaran virus dalam masyarakat terus berlaku di luar daerah Northern Beaches.

"Hal ini terus menjadi risiko kepada masyarakat ACT," ujarnya.

Hingga kini, kelompok jangkitan di Northern Beaches mencecah 138 kes. Sekitar 250,000 orang kini diarah mematuhi sekatan pergerakan.

Disebabkan jumlah kes dijangka meningkat dalam masa beberapa hari ini, pengumpulan individu dalam rumah di Sydney kini dihadkan kepada lima orang. Pengumpulan di luar rumah pula dikurangkan daripada 50 kepada 30 orang.

"Kami mahu elakkan sambutan Tahun Baru menjadi penyebab utama merebak. Kami menasihatkan orang ramai supaya duduk di rumah sahaja," ujar Cik Berejiklian.

Kelompok baru itu dianggap sebagai satu tamparan kepada Australia yang setakat ini berjaya membendung penularan Covid-19 dalam masyarakat hasil penjejakan kontak dan ujian rapi serta menutup sempadan kepada pendatang antarabangsa.

Warga yang kembali ke tanah air diarah menjalani tempoh kuarantin selama 14 hari di hotel tertentu.

Buat masa ini, pihak berkuasa giat menyiasat punca kemunculan dua kelompok jangkitan tersebut.

Dr Coleman berkata: "Saya juga mengingatkan warga Canberra supaya tidak ke kawasan Greater Sydney atau kawasan lain yang terjejas dengan Covid-19.

"Perjalanan ke New South Wales juga perlu dipertimbang semula buat masa ini."

Selama dua tahun berturut-turut, ACT tidak akan menganjurkan pertunjukan bunga api menyambut tahun baru. Sebaliknya, pihak berkuasa ACT akan menyebarkan sambutan ke peringkat luar bandar.

Pemuzik setempat akan menghiburkan penduduk di pelbagai lokasi manakala bangunan seperti National Carillon dan Royal Australian Mint akan disinari cahaya lampu berwarna-warni.

Menteri Besar Andrew Barr berkata warga Canberra yang mengharapkan 'pembebasan emosi' pada tahun baru ini akan dikecewakan.

"Risiko terbesar kita ialah sikap mudah berpuas hati dan menganggap virus tidak mampu tersebar dengan pantas. 2021 akan sama seperti 2020," ujar Encik Barr. - Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg