Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

EU usaha pusatkan pembelian vaksin, rawatan cacar monyet

May 28, 2022 | 5:30 AM
BAKAL DILANCARKAN: Pelancaran vaksinasi cacar monyet akan dibataskan kepada kes yang amat spesifik kerana kebolehjangkitan dan risiko daripada virus itu tidak serius seperti Covid-19. - Foto REUTERS
BAKAL DILANCARKAN: Pelancaran vaksinasi cacar monyet akan dibataskan kepada kes yang amat spesifik kerana kebolehjangkitan dan risiko daripada virus itu tidak serius seperti Covid-19. - Foto REUTERS -

BRUSSELS: Kesatuan Eropah (EU) sedang berusaha untuk memusatkan pembelian vaksin dan rawatan bagi cacar monyet, dengan butiran dijangka dipersetujui dalam "beberapa hari mendatang", kata Suruhanjaya Eropah (EC) kepada AFP.

Tindakan itu, diambil melalui Penguasa Kesediaan dan Kecemasan Kesihatan (Hera) suruhanjaya itu, dibuat sedang agensi penyakit EU menyatakan jumlah kes cacar monyet yang dijangkiti manusia di seluruh dunia dalam penularan terkini telah mencecah 219.

Bekas anggota EU, Britain, mempunyai jumlah kes tertinggi, iaitu 71, diikuti negara anggota EU, Sepanyol, 59, dan Portugal, 37.

Jurucakap suruhanjaya itu bagi isu kesihatan, Encik Stefan De Keersmaecker, memberitahu AFP bahawa "Hera sememangnya bekerjasama dengan negara anggota dan dengan pengeluar untuk mendapatkan vaksin dan terapeutik bagi cacar monyet".

Sebanyak 27 negara EU telah bersetuju bahawa Hera akan mendapatkan vaksin bagi pihak mereka "secepat mungkin" katanya, sambil menambah:

"Prosedur tepat akan ditentukan dengan negara anggota dalam beberapa hari akan datang."

Namun, beliau belum dapat memberi sebarang angka berkaitan vaksin tersebut.

Sedang EU sudah mengambil peranan sebagai penyelaras dan prapembeli berbilion dos vaksin Covid-19 buat negara anggotanya, Encik De Keersmaecker berkata keadaan cacar monyet adalah berlainan.

Pelancaran vaksinasi cacar monyet "akan dibataskan kepada kes yang amat spesifik kerana kebolehjangkitan dan risiko daripada virus itu tidak setanding dengan Covid-19", terangnya.

Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit Eropah (ECDC) menyatakan semalam bahawa walaupun jumlah kes cacar monyet meningkat lima kali ganda sejak seminggu lalu, risiko penularan kekal "sangat rendah".

Endemik di beberapa negara Afrika barat dan tengah, kes cacar monyet kini dikesan di hampir 20 negara di seluruh dunia, termasuk Amerika Syarikat, Australia, Amiriah Arab Bersatu dan 11 negara EU.

Walaupun kebanyakan kes dikaitkan dengan lelaki melakukan hubungan seks dengan lelaki, pakar berkata tiada bukti ia penyakit berlandaskan seksual.

Sebaliknya, ia seolah-olah berjangkit melalui hubungan rapat dengan orang yang dijangkiti yang mempunyai lepuh pada kulit mereka.

Gejala serupa dengan cacar tetapi kurang serius, dan kebanyakan orang pulih dalam masa tiga atau empat minggu.

Sementara itu, Amerika semalam melaporkan ia telah mengenal pasti sembilan kes cacar monyet di tujuh negeri, beberapanya di kalangan individu yang tidak mempunyai sejarah perjalanan antarabangsa baru-baru ini.

Sehingga Rabu, sembilan kes itu disahkan di Massachusetts, Florida, Utah, Washington, California, Virginia dan New York, kata Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit (CDC) Amerika. - Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg