LONDON: Seramai 100 bekas pemimpin dunia termasuk presiden, perdana menteri dan menteri luar mendesak negara anggota Kumpulan Tujuh (G-7) membiayai program vaksinasi Covid-19 global bagi mengekang ancaman mutasi virus berkenaan.
Desakan para pemimpin berkenaan dibuat menjelang Sidang Puncak G-7 di England yang akan bermula Jumaat ini, di mana Presiden Amerika Syarikat, Encik Joe Biden, akan bertemu dengan pemimpin Britain, Perancis, Jerman, Itali, Canada dan Jepun.
Dalam surat mereka kepada G-7, bekas pemimpin dunia itu berkata kerjasama global gagal pada 2020 tetapi yakin 2021 akan memberi sinar kepada era baru.
"Sokongan daripada G-7 dan G-20 yang menjadikan vaksin mudah diakses oleh negara berpendapatan rendah dan sederhana bukan satu tindakan amal, sebaliknya demi kepentingan strategik setiap negara," menurut surat itu.
Antara yang menandatangani surat berkenaan adalah bekas pemimpin Britain, Encik Gordon Brown dan Encik Tony Blair, bekas Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Encik Ban-Ki Moon dan 15 bekas pemimpin Afrika.
Menurut mereka, G-7 dan pemimpin dunia lain yang diundang menghadiri sidang puncak itu seharusnya memberi jaminan untuk membiayai kira-kira AS$30 bilion ($39.73 bilion) setahun selama dua tahun bagi memerangi pandemik di seluruh dunia.
"Bagi G-7 membayar bukanlah amal, ia adalah perlindungan untuk menghentikan penyebaran, mutasi dan ancaman kepada kita semua," kata Encik Brown.
"Kos hanya 30 pence ($0.57) setiap orang setiap minggu di UK, adalah harga yang kecil untuk membayar polisi insurans terbaik di dunia," tambahnya dalam satu kenyataan.
Desakan bekas pemimpin dunia itu bertepatan dengan tinjauan oleh Save the Children yang mendapat sokongan masyarakat di Amerika Syarikat, Britain, Perancis, Jerman dan Canada agar G-7 membiayai AS$66 bilion ($87.41 bilion) yang diperlukan untuk vaksin Covid-19 di seluruh dunia.
Dalam pada itu, Menteri Kesihatan negara Kumpulan Tujuh (G-7) telah bertemu dan membincangkan isu perkongsian vaksin dengan negara miskin selain meningkatkan identifikasi jangkitan bawaan haiwan menjelang Sidang Puncak di United Kingdom, minggu depan.
Dalam pertemuan di Oxford, menteri dari Britain, Canada, Perancis, Jerman, Itali, Jepun dan Amerika Syarikat memberi komitmen untuk memerangi ancaman kesihatan dengan bekerjasama mengenal pasti tanda amaran awal daripada haiwan dan alam sekitar, menurut kerajaan Britain.
Kumpulan menteri itu dijangka bersetuju dengan pendekatan antarabangsa yang baru bagi mengekang penularan penyakit kerana tiga daripada lima jangkitan adalah daripada haiwan kepada manusia, kata Kementerian Kesihatan Britain.
Pertemuan itu diadakan ketika negara kaya di dunia berdepan tekanan untuk membekalkan vaksin kepada negara miskin yang tidak mempunyai stok mencukupi bagi menjalankan program inokulasi yang komprehensif.
Kerajaan Britain baru saja menerbitkan laporan mengenai kemajuan G-7 sejak 2015 dalam membantu negara sedang membangun mengakses vaksin dan membendung penyebaran jangkitan.
Negara anggota G-7 juga komited untuk menyokong program perkongsian vaksin global Covax.
Menteri Kesihatan Britain, Encik Matt Hancock, semalam berkata lebih setengah bilion dos vaksin Oxford-AstraZeneca disalurkan untuk bekalan global dengan kebanyakannya di negara berpendapatan rendah dan sederhana. - BHM, Agensi berita.
"Sokongan daripada G-7 dan G-20 yang menjadikan vaksin mudah diakses oleh negara berpendapatan rendah dan sederhana bukan satu tindakan amal, sebaliknya demi kepentingan strategik setiap negara.'' - Surat daripada 100 mantan pemimpin dunia


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg