Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Perintah sekatan di M'sia: Reaksi campur baur 2 pihak

Satu pihak salahkan pengurusan pandemik; satu lagi kecam warga yang tidak patuh peraturan
Jun 3, 2021 | 5:30 AM
TIADA PENUMPANG: Pelaksanaan PKP penuh mulai Selasa lalu menyaksikan orang ramai mematuhi arahan sehinggakan khidmat pengangkutan gerak cepat kosong tanpa penumpang. - Foto REUTERS
TIADA PENUMPANG: Pelaksanaan PKP penuh mulai Selasa lalu menyaksikan orang ramai mematuhi arahan sehinggakan khidmat pengangkutan gerak cepat kosong tanpa penumpang. - Foto REUTERS -

KUALA LUMPUR: Sedang rakyat Malaysia mula menjalani Perintah Sekatan Pergerakan (PKP) penuh, perasaan bercampur baur antara dua pihak jelas kelihatan.

Sedang ada sesetengah rakyat melahirkan rasa tidak puas hati dan menyalahkan pengurusan dalam menangani pandemik, kakitangan kerajaan dan sebahagian masyarakat pula mengeluh kerana masih terdapat warga yang tidak mematuhi peraturan yang ditetapkan termasuk mematuhi larangan melakukan kunjungan sempena perayaan Hari Raya Aidilfitri yang baru lalu.

Beberapa hari sebelum berlangsungnya PKP penuh, beberapa kawasan menghadapi kesesakan trafik teruk dan ramai juga dilihat cemas dan membanjiri pasar raya untuk berbelanja sehingga menyebabkan timbulnya trend kata berpagar #RakyatGagal, di Twitter.

Pemeriksaan Berita Harian di media sosial mendapati ramai yang melahirkan rasa tidak puas hati secara terus terang.

"Sikap segelintir kita agak melampau. Cakap, komplen pandai itu ini. Tapi, perlakuan buat apa yang dilarang. Inilah masalah utama... sikap. #RakyatGagal," tulis seorang yang menggunakan nama 'Pak Lang Mat' di Facebook.

Seorang lagi, Cik Azfarinaz Amran, pula menekankan betapa kakitangan barisan hadapan bermati-matian cuba menjaga kesihatan awam.

"Frontliners (Barisan hadapan) tu semua sampai ada yang dua tahun tak dapat jumpa famili. Menangis sebab terpaksa tinggal anak kat kampung sebab kerja tak menentu masa.

"Hanya mampu sampaikan salam di radio sahaja untuk anak-anak.

"Abang-akak polis yang berpanas berhujan nak buat roadblock (sekatan jalan raya), peniaga kecil yang kena tutup semula perniagaan bila kes naik, kawasan perumahan yang kena PKPD sebab sikap penting diri korang... aduh! Wake up la Malaysian," tulisnya di media sosial.

Dalam pada itu, tinjauan Berita Harian Malaysia (BHM) mendapati kebanyakan bandar dan ibu negeri di seluruh negara lengang berbanding sebelumnya.

Seiring pelaksanaan arahan itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut mempertingkat kawalan dan pemeriksaan di sekatan jalan raya seluruh negara.

Sekatan jalan raya ditambah, begitu juga penugasan anggota bagi memastikan prosedur operasi standard (SOP) sekatan pergerakan penuh semasa Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 dipatuhi dalam usaha memutuskan rantaian penularan wabak Covid-19.

Di Johor Bahru, suasana pusat bandar di sini, yang biasanya sentiasa sibuk dengan kenderaan, bertukar sepi dan lengang pada hari pertama sekatan pergerakan penuh yang berkuat kuasa kelmarin hingga 14 Jun ini.

Tinjauan di jalan utama pusat bandar ini termasuk di Jalan Dato Onn, Jalan Wong Ah Fook dan Jalan Ibrahim, mendapati suasananya menyamai ketika PKP 1.0 dikuatkuasakan pada Mac tahun lalu.

Di Kota Kinabalu pula, tinjauan mendapati jalan-jalan utama sekitar bandar raya sedikit lengang berbanding pada hari bekerja biasa dan trafik lancar dan orang ramai serta peniaga patuh SOP PKP 3.0.

Pemerhatian di pusat beli-belah Centre Point juga mendapati operasi terhad bagi premis perniagaan yang menawarkan perkhidmatan penting seperti farmasi, kedai serbaneka, restoran dan pasar raya.

Jumlah kes baru COVID-19 yang dilapor di Malaysia semalam tidak banyak berubah apabila mencatatkan 7,703 kes berbanding 7,105 kes semalam, dengan Selangor kekal merekodkan kes tertinggi iaitu sebanyak 2,728.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata perkembangan terbaru itu menjadikan jumlah kumulatif 587,165 kes direkodkan setakat ini.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg