Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

PILIHAN RAYA NEGERI MELAKA

BN menang besar di Melaka

BN capai kerusi mencukupi bentuk kerajaan negeri
Nov 21, 2021 | 05:30 AM



MELAKA: Barisan Nasional (BN) menang besar dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka sekali gus bakal membentuk kerajaan apabila menang 21 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) berdasarkan keputusan tidak rasmi sehingga 10 malam tadi.



Keputusan tidak rasmi itu diumumkan Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan di Pusat Gerakan parti itu di Ayer Keroh.



Antara DUN yang dimenangi ialah Tanjung Bidara, Merlimau, Machap Jaya, Lendu dan Kuala Linggi, sebaik selesai kiraan di semua saluran mengundi.



Kerusi DUN lain yang hampir pasti dimenangi BN adalah Telok Mas, Tabuh Naning, Sungai Rambai, Asahan, dan Rim, menurut laporan media Malaysia.



Hingga 10 malam tadi, Pakatan Harapan (PH) menerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) memenangi lima kerusi termasuk di Bandar Hilir, Kota Laksamana dan Ayer Keroh.



Perikatan Nasional (PN) dijangka memenangi dua kerusi.



Barisan Nasional (BN) setakat ini memperoleh kerusi mencukupi iaitu sekurang-kurangnya 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk membentuk kerajaan negeri.



Berdasarkan keputusan tidak rasmi, sebahagian besar kerusi yang mereka menangi adalah kerusi disandang mereka dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) selain merampas dua kerusi DUN yang sebelum ini dimenangi PH.



Sorakan kemenangan sudah mula bergema di Bilik Gerakan Utama BN di Ayer Keroh, dengan pemimpin utama BN sudah mula tiba bagi meraikan kemenangan mereka.



Setakat ini, BN memenangi DUN Kuala Linggi, Tanjung Bidara, Ayer Limau, Lendu, Gadek, Machap Jaya, Durian Tunggal, Kelebang dan Merlimau.



Lima lagi kerusi dijangka dimenangi BN ialah Telok Mas, Sungai Rambai, Ayer Molek, Rim dan Duyong.



Keputusan tidak rasmi menyaksikan calon Ketua Menteri Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Sulaiman Md Ali, menang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Lendu.



Hingga 8.30 malam tadi, kiraan kertas undi bagi DUN Lendu sudah berakhir dengan Datuk Seri Sulaiman memperoleh 4,521 undi, sekali gus menang dengan majoriti 3,139 undi.



Keputusan tidak rasmi itu menunjukkan calon Perikatan Nasional (PN), Abdullah Mahadi meraih 1,382 undi, manakala calon Pakatan Harapan (PH), Mohamad Asri Ibrahim memperoleh 1,155 undi.



Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), kerusi DUN Lendu turut dimenangi Datuk Sulaiman yang memperoleh majoriti 627 undi.



PH memenangi tiga kerusi, di Bandar Hilir, Kota Laksamana dan Ayer Keroh.



Perikatan Nasional (PN) belum memenangi apa-apa kerusi hingga 8.30 malam.



Laman Malaysia Kini melaporkan keputusan tidak rasmi, dengan PH meraih 1,273 undian di Bandar Hilir, berbanding 415 oleh Barisan Nasional (BN) dan 224 oleh Perikatan Nasional (PN). Calon bebas meraih tiga undian.



Di Kota Laksamana, Harapan mendahului dengan 2,262 undian manakala BN menerima 474 undian dan PN, 244 undian.



Rakyat Melaka keluar mengundi semalam bagi pilihan raya negeri ke-15 di tengah-tengah pandemik Covid-19.



Seramai 476,037 orang layak mengundi, dengan pengundian dilakukan di 217 pusat daerah mengundi di 28 kerusi DUN yang dipertandingkan seramai 112 calon.



Pusat mengundi dibuka dari 8 pagi hingga 5.30 petang.



Hingga 4 petang semalam, seramai 61 peratus pengundi yang telah mengundi, kata Suruhanjaya Pilihan Raya.



Pilihan raya negeri menyaksikan pertarungan hebat antara BN, PN dan PH yang menampilkan calon di semua 28 kerusi DUN.



BN diterajui Umno, PN diketuai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Parti Islam SeMalaysia, manakala PH ialah pakatan pembangkang persekutuan merangkumi tiga parti.



Walaupun perhimpunan awam dilarang semasa tempoh berkempen selama 12 hari yang bermula pada 8 November, semua pemimpin tertinggi tiga pakatan itu sibuk membuat penampilan umum.



Kempen di Melaka itu meletakkan kerajaan dalam situasi yang rumit sedang Umno, Bersatu, dan PAS mengganggotai kerajaan persekutuan sama yang dipimpin naib presiden Umno, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, sedang PH mempunyai persetujuan untuk menyokong pentadbiran Datuk Ismail Sabri di Parlimen sebagai ganti reformasi yang diminta pembangkang.



Kempen BN dipimpin bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, PN oleh bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin dan PH oleh bekas timbalan perdana menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.



Suruhanjaya Pilihan Raya telah menggariskan panduan pencegahan Covid-19 sepanjang proses pengundian bagi memastikan keselamatan rakyat dapat dilindungi.



Antara lain, pengundi diwajibkan memakai pelitup, menjalani pemeriksaan suhu badan, menggunakan sanitizer tangan dan mengamalkan jarak selamat.



Pengundian awal pada 16 November menyaksikan seramai 89.9 peratus yang keluar mengundi, terdiri daripada 10,390 anggota polis, tentera dan pasangan mereka.



Pilihan raya itu diadakan berikutan pembubaran DUN selepas empat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun), menarik balik sokongan mereka kepada bekas ketua menteri Seri Sulaiman Md Ali. - Agensi berita.



Ikuti laporan terkini di laman beritaharian.sg.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >