BEIJING: Amerika Syarikat "bermain dengan api", kata Pejabat Ehwal Taiwan Majlis Negara China kelmarin , selepas Presiden Amerika, Encik Joe Biden, berikrar untuk mempertahankan pulau yang diperintah sendiri itu sekiranya Beijing cuba mahu menguasainya, lapor media pemerintah.
Amerika "menggunakan 'kad Taiwan' untuk membendung China, dan akan menyebabkan dirinya terbakar", kata Cik Zhu Fenglian, jurucakap pejabat itu.
Kenyataan Encik Biden sebelumnya mengenai isu Taiwan, adalah yang paling kuat sejauh ini dan dibuat di tengah-tengah ketegangan semakin meningkat berkaitan kuasa ekonomi dan ketenteraan China yang semakin meningkat.
Media pemerintah Xinhua melaporkan bahawa Cik Zhu "menggesa Amerika untuk menghentikan sebarang kenyataan atau tindakan" yang melanggar prinsip yang telah ditetapkan sebelum ini antara dua negara itu.
Ditanya wartawan kelmarin sama ada Washington bersedia terlibat secara ketenteraan untuk mempertahankan Taiwan, Encik Biden menjawab: "Ya."
"Itu komitmen yang kami buat," katanya.
Presiden Amerika itu bercakap di Tokyo di mana beliau bertemu dengan perdana menteri Jepun menjelang sidang puncak kumpulan Quad semalam.
Washington dan sekutu seperti Jepun telah memberi tindak balas keras terhadap pencerobohan Russia ke atas Ukraine sebagai amaran kepada pihak lain, terutamanya China, terhadap sebarang tindakan ketenteraan.
Pejabat Ehwal Taiwan ditempatkan di bawah Majlis Negara, yang selalu dilihat sebagai Kabinet China. - AFP.