Subuh
5:34
Syuruk
6:57
Zuhur
1:04
Asar
4:28
Maghrib
7:08
Isyak
8:22

Biden: AS, negara demokrasi mesti bersatu mengenai dasar dagang

Dunia
28
0

BERITA

Biden: AS, negara demokrasi mesti bersatu mengenai dasar dagang

Bakal presiden tidak mahu hanya China, negara tertentu tetapkan hasil sesuatu keadaan
Nov 18, 2020 | 05:30 AM

WILMINGTON (Delaware): Bakal Presiden Joe Biden kelmarin berkata Amerika Syarikat mesti menyertai negara demokrasi sedunia untuk menonjolkan satu barisan bersatu dalam dasar perdagangan sejagat bagi mengimbangi China.

"Idea bahawa kami mencucuk mata rakan-rakan kami dan mendakap autokrat adalah merepek bagi saya," kata Encik Biden dalam satu sidang media bagi membincangkan rancangan ekonominya.

Ditanya apakah Amerika harus menyertai gagasan perdagangan bebas yang baru dibentuk, Kerjasama Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP), Encik Biden berkata beliau telah bercakap dengan ramai pemimpin dunia tentang perdagangan antarabangsa tetapi dikekang oleh undang-undang Amerika yang menyebabkan beliau tidak dapat membincangkan perincian bersama mereka atau secara terbuka.

"Hanya ada seorang presiden pada satu-satu masa yang boleh menyatakan apakah dasar kita," ujarnya.

Encik Biden berikrar akan mendedahkan perincian agenda dasar perdagangannya pada 21 Januari depan - sehari selepas beliau dilantik secara rasmi sebagai presiden.

Presiden Donald Trump, yang dikalahkan Encik Biden dalam pilihan raya awal bulan ini, menggunakan dasar perdagangan agresif ke atas sekutu dan musuh, mengenalkan tarif ke atas keluli, aluminium dan barangan lain dari Canada, Mexico dan Kesatuan Eropah (EU), selain China.

"Kita perlu sealiran dengan demokrasi lain... supaya kita dapat menentukan undang-undang di jalanan, dan bukannya membiarkan China dan yang lain menetapkan hasilnya kerana mereka satu-satu kuasa yang ada," kata Encik Biden.

Pentadbiran Trump mengelak pertubuhan berbilang hala, melumpuhkan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) berkaitan dakwaan ia tidak bersikap adil terhadap Amerika, menggugat badan penyelesaian pertikaian itu dan mengadang penamaan pengarah agung baru.

Retorik Encik Trump lebih mesra terhadap Russia dan Korea Utara, negara 'paria' yang ketua negaranya berpeluang mengadakan dua pertemuan bersama presiden Amerika itu.

Encik Biden kelmarin berkata beliau tidak akan meneruskan dasar perdagangan "menyusahkan", sebalik bertujuan menjadikan pekerja Amerika lebih berdaya saing, dan memastikan pemimpin buruh dan sekitaran "berada di meja rundingan dalam apa jua persetujuan perdagangan yang kami lakukan".

Encik Biden juga mengulangi ikrarnya akan menyertai semula Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan perjanjian Paris bagi menangani perubahan iklim, yang ditinggalkan oleh Encik Trump.

Pada Ahad lalu, 15 negara Asia Pasifik menandatangani RCEP, iaitu perjanjian perdagangan terbesar dunia.

Negara yang menyertai RCEP ialah 10 negara Asean, China, Japan, Korea Selatan, New Zealand dan Australia.

Selepas empat tahun pentadbiran Amerika di bawah kepimpinan Encik Trump diwarnai 'kekecohan' dalam berurusan dengan pemimpin luar, Encik Biden telah memberi isyarat diplomasi sebaliknya.

Dalam satu kenyataan selepas menerima panggilan ucapan tahniah daripada Perdana Menteri Canada, Encik Justin Trudeau, baru-baru ini, Encik Biden "menegaskan semula hubungan rapat antara AS dan Canada".

Pendekatan ini sangat berbeza kerana Encik Trudeau pernah diejek Encik Trump melalui Twitter menyusuli satu sidang puncak sebagai "amat tidak jujur dan lemah".

Sekarang, Encik Biden dan Encik Trudeau berikrar akan bekerjasama menangani koronavirus Covid-19 dan ancaman biologi pada masa depan.

Bakal presiden itu, yang mempunyai pengalaman hampir 50 tahun di Washington, berjanji akan mengembalikan keadaan normal meliputi membawa balik proses membuat keputusan bersesuaian dengan masa, termasuk membabitkan rundingan pakar, berbanding membuat kiriman Twitter mengikut gerak hati. - Agensi berita.

Video Baru

Teka Kata

=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3