Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Biden perintah suntikan meluas Covid-19

Ujian berkala bagi berjuta pekerja Amerika Syarikat
Sep 11, 2021 | 5:30 AM
PERATURAN LEBIH KETAT: Dengan penularan varian Delta di seluruh Amerika Syarikat, Presiden Joe Biden mengumumkan peraturan ketat di bawah pentadbirannya, termasuk mewajibkan semua pekerja persekutuan diberi vaksin Covid-19 selain mewajibkan semua perniagaan dengan 100 atau lebih pekerja mendapat vaksin atau menjalani ujian mingguan. - Foto AFP
PERATURAN LEBIH KETAT: Dengan penularan varian Delta di seluruh Amerika Syarikat, Presiden Joe Biden mengumumkan peraturan ketat di bawah pentadbirannya, termasuk mewajibkan semua pekerja persekutuan diberi vaksin Covid-19 selain mewajibkan semua perniagaan dengan 100 atau lebih pekerja mendapat vaksin atau menjalani ujian mingguan. - Foto AFP -

WASHINGTON: Presiden Joe Biden mengumumkan peraturan baru yang ketat dalam kempen imunisasi Covid-19 kebangsaan, sekali gus bakal memberi kesan terhadap puluhan ribu pekerja di Amerika Syarikat.

Encik Biden turut membidas sebilangan rakyat negara itu yang enggan menerima suntikan vaksin dalam usaha memerangi pandemik.

Tindakan itu yang disifatkan paling agresif bagi mengekang penularan varian Delta di Amerika, setakat ini, membabitkan pelan enam perkara yang menyasarkan perniagaan mempunyai lebih 100 pekerja.

"Sekumpulan minoriti berbeza warga Amerika dengan sokongan sekumpulan minoriti berbeza pegawai yang dipilih, telah menyukarkan kita untuk melepasi situasi getir ini.

"Mereka yang tidak divaksin itu membanjiri hospital kita, bilik kecemasan dan unit rawatan rapi (ICU), sehingga tiada ruang untuk pesakit yang mengalami serangan jantung, pankreatitis ataupun barah," kata Encik Biden dalam ucapan dari Rumah Putih yang disiarkan stesen televisyen negara itu semalam.

Peraturan baru itu antara lain menetapkan syarikat swasta dengan lebih 100 kakitangan, perlu memastikan pekerja mereka divaksin ataupun menjalani ujian saringan Covid19 secara mingguan.

Langkah persekutuan itu dianggarkan bakal memberi kesan terhadap 80 juta orang.

Malah, pelan itu turut mewajibkan semua kontraktor dan pekerja persekutuan mendapatkan vaksinasi.

Penguatkuasaan vaksinasi sepenuhnya itu merupakan langkah lebih tegas berbanding ketetapan ketika ini yang mengehendaki penjawat awam menerima suntikan vaksin atau menjalani ujian saringan Covid-19 secara berkala.

Kira-kira 17 juta petugas penjagaan kesihatan di kemudahan yang menerima dana program Medicaid atau Medicare dari pemerintah, juga akan dikehendaki mendapatkan imunisasi Covid-19.

Pengecualian hanya dibenarkan atas alasan berkait agama atau bagi golongan kurang upaya.

"Ini bukan soal kebebasan atau pilihan peribadi. Ia adalah mengenai melindungi diri, orang di sekeliling, rakan sekerja dan insan yang anda sayang.

"Perkara pokok di sini ialah kita akan melindungi pekerja yang sudah divaksin daripada rakan sekerja yang belum divaksin.

"Kita akan mengurangkan penularan Covid-19 melalui usaha meningkatkan jumlah pekerja divaksin, dalam perniagaan di seluruh Amerika," kata Encik Biden.

Setakat ini, kira-kira 80 juta warga Amerika belum menerima suntikan vaksin Covid-19, dengan terdapat hasil kajian mendakwa ia cenderung membabitkan golongan lebih muda dan kurang berpendidikan.

Dalam masa yang sama, kanak-kanak berumur 12 tahun dan ke atas yang belajar di sekolah awam di Los Angeles, dikehendaki lengkap vaksinasi Covid-19 menjelang awal tahun depan.

Syarat diumumkan semalam itu merupakan yang pertama seumpamanya ditetapkan oleh sesebuah lembaga pendidikan utama di Amerika.

Ia berikutan hasil undian pada mesyuarat Daerah Sekolah Bersatu Los Angeles (LAUSD) yang juga daerah sekolah awam kedua terbesar di Amerika.

Keputusan itu sekali gus menjadi contoh pertama kepada lembaga sekolah lain di seluruh negara itu.

Sekitar 600,000 pelajar mengikuti pendidikan di sekolah awam kendalian LAUSD, termasuk kira-kira 220,000 yang layak untuk divaksin.

Presiden Lembaga LAUSD, Cik Kelly Gonez, mengalu-alukan hasil undian itu dengan menegaskan vaksin Covid-19 adalah selamat, berkesan serta langkah terbaik untuk melindungi pelajar daripada ancaman virus terbabit.

"Kami akan berusaha memastikan keluarga mereka mempunyai maklumat perubatan yang boleh dipercayai dalam beberapa minggu akan datang," katanya menerusi Twitter selepas mesyuarat itu.

Daerah sekolah itu sudah mewajibkan ujian saringan berkala terhadap pelajar, kakitangan divaksin dan pelitup muka dipakai di kampus.

Di bawah peraturan baru itu pula, semua pelajar yang menghadiri persekolahan secara bersemuka, perlu mendapatkan suntikan dos pertama menjelang 21 November depan.

Seterusnya, mereka mesti mendapatkan suntikan dos kedua untuk imuniti penuh menjelang 10 Januari tahun depan. - Agensi berita.

"Ini bukan soal kebebasan atau pilihan peribadi. Ia adalah mengenai melindungi diri, orang di sekeliling, rakan sekerja dan insan yang anda sayang. Kita akan mengurangkan penularan Covid-19 melalui usaha meningkatkan jumlah pekerja divaksin, dalam perniagaan di seluruh Amerika." - Presiden Amerika Syarikat Joe Biden.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg