Subuh
5:46
Syuruk
7:05
Zuhur
1:11
Asar
4:28
Maghrib
7:14
Isyak
8:25

Biden temui Raja, Putera Mahkota Saudi dalam usaha pulih hubungan dua hala

Teka Kata
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Markah anda: Bagus! Markah anda: Hebat! Markah anda: Out Of 3
Dunia
28
0

Biden temui Raja, Putera Mahkota Saudi dalam usaha pulih hubungan dua hala

Jul 17, 2022 | 05:30 AM

JEDDAH: Presiden Amerika Syarikat (AS), Encik Joe Biden, mengadakan pertemuan dengan Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdul Abdulaziz Al-Saud, dan Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Mohammed bin Salman, yang dijangka bakal membentuk semula kerjasama di Asia Barat.

Pertemuan ini juga dianggap satu kelebihan buat Putera Mohammed, yang cuba memulihkan imejnya dan menarik pelaburan asing.

Ia sebahagian pelan reformasi Riyadh dan melonjakkan kembali hubungan keselamatan dengan AS.

Sementara pada sisi Encik Biden, memulihkan hubungan dengan Arab Saudi adalah sesuatu yang kritikal, susulan kedudukan Riyadh sebagai pengeluar minyak utama, ketika kenaikan harga gas dan kebimbangan berkaitan program nuklear Iran.

Encik Biden mengunjungi bandar Jeddah, di pantai Laut Merah, petang kelmarin, walaupun sebelum ini melabelkan kerajaan negara itu sebagai 'pariah' susulan pembunuhan wartawan Arab Saudi, Encik Jamal Khashoggi, 2018.

Encik Biden, memberitahu Putera Mohammed bahawa beliau menganggap baginda bertanggungjawab atas pembunuhan wartawan The Washington Post, Encik Khashoggi, pada 2018.

Encik Biden berkata sedemikian kepada pemerintah de facto Arab Saudi itu dalam pertemuan, yang menyaksikan kedua-duanya bersalaman secara 'fist bump', atau melagakan buku lima.

Bercakap kepada pemberita kemudian, Encik Biden berkata, Putera Mahkota itu bagaimanapun menafikan terbabit dalam pembunuhan berkenaan, sebaliknya memaklumkan baginda sudah mengambil tindakan terhadap mereka yang bertanggungjawab.

"Dalam perjumpaan itu, saya membangkitkan perihal pembunuhan Khashoggi, dan menyuarakan secara jelas mengenai fikiran saya pada ketika itu serta apa yang saya fikirkan sekarang.

"Saya membincangkan perkara itu secara terus terang. Saya menyuarakan pandangan saya secara jelas.

"Saya berterus terang bahawa, untuk seorang Presiden AS mendiamkan diri mengenai isu hak asasi manusia adalah tidak konsisten dengan siapa diri kita dan juga saya.

"Baginda pada dasarnya menyatakan baginda tidak bertanggungjawab secara peribadi atas kejadian itu," katanya.

Berhubung kenyataannya sebelum ini yang menyifatkan Arab Saudi sebagai 'pariah' susulan pembunuhan Khashoggi pula, Encik Biden menegaskan beliau tidak menyesal membuat kenyataan itu.

Bagaimanapun, interaksi Encik Biden dengan Putera Mahkota itu mengundang kritikan di negaranya sendiri, termasuk The Washington Post dan Jawatankuasa Melindungi Wartawan.

Tunang Encik Khashoggi, Cik Hatice Cengiz pula kongsikan gambar Encik Biden melagakan buku lima dengan Putera Mahkota itu dalam Twitter dan menyelar tindakan Presiden AS berkenaan.

Seorang wartawan terbabit bertanya: "Adakah anda akan meminta maaf kepada keluarganya?"

Begitu pun, Putera Mahkota, bersama Menteri Tenaga Arab Saudi yang duduk di sebelah baginda, tidak memberi respons kepada soalan berkenaan.

Namun, pada lawatan berkenaan, agensi berita SPA melaporkan AS dan Arab Saudi mencapai persetujuan akan pentingnya untuk menghalang Iran daripada 'memperoleh senjata nuklear.'

Encik Biden dipetik sebagai menegaskan AS komited untuk menyokong keselamatan dan pertahanan Arab Saudi.

Kedua-dua negara juga menekankan keperluan untuk mencegah Iran daripada mencampuri hal ehwal dalaman negara lain; menyokong keganasan melalui gabungan kumpulan bersenjata; serta menggugat keselamatan dan kestabilan rantau terbabit.

Lawatan Encik Biden ke Arab Saudi adalah persinggahan terakhirnya ke Timur Tengah. Sebelum ini, beliau melawat Israel dan Tebing Barat.

Beliau juga memecah rekod sebagai Presiden AS pertama menaiki pesawat dari negara Israel ke Arab Saudi, yang sehingga kini masih belum mengiktiraf Israel.

Sebelum Encik Biden berlepas ke Arab Saudi, beliau melawat sebuah hospital di Baitulmaqdis Timur dan menjanjikan pakej bantuan kewangan dan teknikal bernilai AS$100 juta ($139.9 juta) selama beberapa tahun.

Namun, selepas pertemuan dengan Presiden Palestin, Encik Mahmoud Abbas, di Tebing Barat, beliau mengakui bahawa penciptaan negara Palestin yang merdeka kekal tanpa prospek segera untuk mengadakan rundingan damai dengan Israel. - Agensi berita.


"Dalam perjumpaan itu, saya membangkitkan perihal pembunuhan Khashoggi, dan menyuarakan secara jelas mengenai fikiran saya pada ketika itu serta apa yang saya fikirkan sekarang.
Saya membincangkan perkara itu secara terus terang. Saya menyuarakan pandangan saya secara jelas.
Saya berterus terang bahawa, untuk seorang Presiden AS mendiamkan diri mengenai isu hak asasi manusia adalah tidak konsisten dengan siapa diri kita dan juga saya."

- Presiden Amerika Syarikat, Encik Joe Biden.

Video Baru

Teka Kata

=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3